KUALA LUMPUR – Penerbit drama, Datuk A. Aida mahu anaknya memberi tumpuan penuh terhadap kerjaya seni yang baharu dibina dan semakin dikenali selepas menyertai program Talk To My Manager 2 (TTMM2).
Kata A. Aida yang juga pelakon itu, anaknya yang kini juga bergelar pengacara seboleh-boleh perlu mengelak untuk bercinta buat masa ini demi mencipta nama dalam industri seni negara.
Namun dia tidak menafikan ramai golongan lelaki yang mencuba nasib untuk berkenalan dengan Azeva dan menjadikannya sebagai teman istimewa.
“Saya terima banyak mesej dalam media sosial termasuk artis yang panggil saya mama. Boleh dikatakan berderet-deretlah nak kenal dengan Azeva.
“Sebab itu saya buat kenyataan bahawa Azeva buat ketika ini elakkan bercinta sebab saya sedang mencipta namanya dan peluang kerja pula sedang banyak.
“Jadi, kenapa perlu saya sia-siakan semua itu. Tidak mungkinlah tengah mendunia ini, tiba-tiba nak kahwin? Hello! Kalau nak kahwin, hantaran RM10 juta saya terima dan boleh dipertimbangkan,” selorohnya ketika ditemui selepas konsert final Big Stage Rocketfuel, kelmarin.

Azeva, 25, yang merupakan pengacara program realiti itu bersama Nabil Ahmad adalah anak kedua daripada dua adik-beradik hasil perkongsian hidup A. Aida dengan penyanyi, Ameng yang bercerai sekitar tahun 2004.
Mengulas lanjut, A. Aida juga berpegang pada prinsip bahawa duit adalah sangat penting dalam membina kehidupan dan tidak seharusnya bergantung kepada rasa cinta semata-mata.
“Sebab dunia sekarang ini, tak payahlah orang cakap cinta. Memang mula-mula cinta tetapi lama-lama derita. Hakikatnya, duit adalah segala-galanya,” ujarnya berterus-terang.
A. Aida turut mengakui sering berpesan kepada Azeva agar hanya berkawan sahaja dengan mana-mana lelaki ketika ini dan menggunakan semua peluang yang ada untuk mengumpul harta.
“Bila harta dah banyak dan duit pun dah bersepah, kita boleh petik jari saja kalau mahu sesiapa.
“Kalau nak cari pasangan hidup, biarlah yang memahami dan boleh buat kita bahagia serta mampu sediakan apa sahaja,” kata ibu tunggal itu. – MalaysiaGazette

















