Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – – Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan DAP sekali lagi bermain `wayang’ selepas menuntut secara terbuka peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen.

Meskipun menyifatkan apa yang dituntut oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo itu sesuatu yang baik, namun Wan Saiful mempersoalkan mengapa ia tidak dibuat dari awal.

“Dah dekat hujung penggal baru nak berlakon seolah-olah mereka peduli. Padahal sudah lebih 3 tahun mereka zalim dan menafikan hak peruntukan daripada kami wakil rakyat PN.

“Saya katakan ia wayang sebab DAP buat pengumuman seolah-olah mereka peduli mengenai hak wakil rakyat secara keseluruhan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dakwa Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, DAP sebenarnya bimbang akan menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), justeru mahu akta diwujudkan untuk menjamin peruntukan.

Dakwanya lagi, desakan DAP itu bukan atas sebab keikhlasan menjaga kepentingan rakyat, tapi hanya menjaga kepentingan DAP sendiri.

“Sebenarnya mereka hanya nak sediakan “safety net” untuk diri sendiri sahaja. Dengan akta yang mereka tuntut ini, mereka rasa mereka boleh terus belanjakan wang negara selepas hilang kerajaan dan jjadi pembangkang nanti.

“Mudah sangat nak baca wayang DAP ni. Mereka bukan fikir mengenai rakyat. Tapi mereka fikir tembolok sendiri sahaja,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan gesaan Gobind supaya kerajaan menggubal undang-undang bagi menjamin peruntukan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen tanpa diskriminasi berdasarkan kecenderungan politik.

Menurut Gobind, kelulusan undang-undang berkenaan akan menghapuskan budi bicara politik dalam proses pemberian peruntukan, selain menjamin ketelusan serta melindungi hak semua pengundi di seluruh negara secara kekal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Damansara berkata, langkah itu selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan peruntukan pembangunan yang saksama diberikan kepada semua Ahli Parlimen. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here