MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengumumkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerjasama.
Dr Akmal sanggup melepaskan peluang untuk mempertahankan kerusi sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau demi mempertahankan prinsip yang dipegangnya.
“Saya ulang pendirian saya semasa dalam podcast KS (Keluar Sekejap) iaitu jika BN-PH di Melaka, saya tidak akan bertanding sebab saya lebih rela pertahankan prinsip saya daripada sebuah jawatan wakil rakyat.
“Insya-Allah Melaka kita birukan seperti Johor dan Negeri Sembilan,” katanya menerusi status di Facebook rasminya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terbaharu berhubung kemungkinan PH dan BN membuka perbincangan mengenai kerjasama menghadapi PRN Melaka.
Hari ini Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara berkenaan berkemungkinan dibincangkan memandangkan PRN Melaka semakin hampir.
Dr Akmal turut mempersoalkan pendirian PH yang sebelum ini didakwa menganggap UMNO sebagai bermuka-muka dan menikam kawan namun kini parti itu pula dilihat mencari UMNO untuk membentuk kerjasama.
“Kata UMNO bermuka-muka, kata UMNO tikam kawan tapi UMNO juga yang dicari,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
PH-BN mungkin buka perbincangan hala tuju PRN Melaka – Saifuddin
















