Razlan Raghazli, bekas CEO UBB Investment Bank Ltd (UBBIB)

KUALA LUMPUR – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank berdepan pertuduhan menipu selepas didakwa memperdayakan seorang pegawai kanan institusi kewangan itu sehingga menyebabkan pembayaran berjumlah RM139.89 juta dilepaskan kepada sebuah syarikat tahun lalu.

Razlan Raghazli, 43, yang juga bekas CEO UBB Investment Bank Ltd (UBBIB), bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Razlan didakwa memperdayakan Pengarah Urusan dan CEO UBB Amanah Berhad, Aida Aizura Othman, berkaitan jadual pembayaran dalam satu surat bertarikh 18 September 2025.

Jadual berkenaan membabitkan pembiayaan hartanah Islamik di bawah Bai-Bithamin Ajil (BBA) dan didakwa seolah-olah menepati nasihat yang diberikan firma guaman Tetuan Kassim Tadin, Wai & Co.

Bagaimanapun, tertuduh didakwa mengetahui jadual tersebut bercanggah dengan nasihat firma guaman berkenaan.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Aida Aizura melepaskan pembayaran sebanyak RM139,891,776 kepada ELMU Higher Education Sdn. Bhd., yang didakwa tidak akan dilakukan sekiranya beliau tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa berlaku di UBB Investment Bank Limited, Galeria Hartamas, Desa Sri Hartamas di sini pada September 2025.

Razlan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hazel Tan memohon jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin selain meminta mahkamah menetapkan syarat supaya tertuduh tidak menghubungi atau berjumpa saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam Azamudin Abd Aziz yang mewakili Razlan memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan sejak Jun lalu.

Menurutnya, Razlan mempunyai empat anak dan turut menanggung ibunya yang sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Razlan turut dilarang mengganggu atau berkomunikasi dengan mana-mana saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 12 Oktober depan untuk serahan dokumen.

Dalam prosiding sama, peguam Johan Mohan Abdullah yang hadir sebagai pemerhati bagi pihak UBB memohon supaya nama institusi kewangan berkenaan tidak disebut dalam laporan media.

Ini atas alasan ia boleh menjejaskan kestabilan kewangan serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pendeposit.

Bagaimanapun, Hakim Azura menolak permohonan itu selepas mendapati nama UBB memang dinyatakan dalam pertuduhan.

Hakim turut menegaskan orang awam mempunyai hak untuk mengetahui perjalanan prosiding mahkamah berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here