BENTONG – Tindakan vandalisme terhadap arca dan struktur di sebuah rumah ibadat bukan Islam di Bukit Tinggi, di sini baru-baru ini tidak seharusnya berlaku, kata Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Beliau menyifatkan tindakan itu satu perbuatan melampau yang berpotensi menggugat keharmonian serta ketenteraman masyarakat pelbagai kaum khususnya di Bentong.
“Saya difahamkan, rumah ibadat tersebut tiada kelulusan pembinaan dari Pihak Berkuasa Tempatan dan tiada kelulusan aktiviti oleh Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Pahang.
“Namun tindakan merosakkan mana-mana rumah ibadat atau perbuatan vandalisma tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih, atau mengambil tindakan sendiri yang boleh mengganggu siasatan pihak polis serta menimbulkan ketegangan awam.
Beliau turut berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secara mendalam dan teliti bagi mengenalpasti serta menangkap mana-mana pihak yang bertanggungjawab di sebalik insiden itu.
“Bulan Kebangsaan adalah bulan yang bermakna dan istimewa untuk semua rakyat Malaysia. Kepelbagaian budaya, agama, dan latar belakang adalah kekuatan terbesar kita.
“Perpaduan yang kita nikmati hari ini perlu terus dijaga dengan sikap saling memahami dan mengelakkan sebarang anasir yang boleh memecah-belahkan,” katanya.
Isnin lalu, Polis Bentong mengesahkan telah menerima tiga laporan berkaitan kejadian tersebut, namun siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan kuil dan tiada saksi bebas yang melihat kejadian itu berlaku.
Siasatan kejadian itu masih dilakukan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette
















