Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau isu komuniti pelarian Myanmar di negeri ini.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, fokus jawatankuasa itu adalah perkara yang melibatkan ketenteraman awam, pematuhan undang-undang dan kebimbangan penduduk setempat.

“Penubuhan jawatankuasa ini penting bagi memastikan sebarang aduan atau masalah yang timbul dapat dikumpulkan, disemak dan dibawa kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

“Amanah Johor tidak mahu isu ini terus dibiarkan tanpa pemantauan sehingga menimbulkan ketegangan antara komuniti dan masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kanak-kanak warga Rohingya ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Kangkar Tebrau, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2026.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan berperanan sebagai saluran suara rakyat serta badan pemantau yang mendesak kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan memperkemas pengurusan penempatan, dokumentasi, aktiviti ekonomi dan pematuhan undang-undang dalam kalangan komuniti pelarian.

Amanah Johor katanya, turut mencadangkan supaya kerajaan mempunyai mekanisme penempatan dan pemantauan yang lebih tersusun, termasuk kerjasama antara agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan serta Kerajaan Persekutuan.

Tegasnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, sebarang kesalahan perlu diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa mengira status atau latar belakang individu.

Jawatankuasa itu juga ujarnya, akan membuka ruang kepada rakyat Johor untuk menyampaikan aduan, maklumat dan cadangan berkaitan isu pelarian secara bertanggungjawab.

Etnik Rohingya memotong rambut anaknya ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Kangkar Tebrau, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2026.

“Ini supaya perkara yang benar-benar memerlukan tindakan dapat disalurkan kepada pihak berkuasa, bukannya disebarkan melalui dakwaan tidak berasas yang boleh mencetuskan kebencian,” kata Ahli Parlimen Sri Gading itu.

Tambahnya, Amanah Johor menegaskan bahawa pendirian ituiadalah demi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat Johor terus terpelihara.

Pada masa yang sama katanya, pengurusan pelarian perlu dilaksanakan secara tegas, teratur dan berperikemanusiaan serta melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Pada Isnin lalu, Pengarah Komunikasi Amanah Johor, Mohd Faizul Salleh menggesa kerajaan agar serius dan tegas menangani isu pelarian etnik Rohingya di Johor yang menimbulkan masalah dan melanggar undang-undang.

Mohd Faizul dilaporkan berkata, antara isu yang perlu ditandatangani melibatkan aspek pengurusan penempatan, keselamatan, kebajikan dan keharmonian sosial.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here