KUALA LUMPUR – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serius dalam memperjuangkan kebebasan pemikiran golongan muda, khususnya mahasiswa untuk melahirkan generasi pelapis yang lebih kritis.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, pengalaman Anwar sebagai bekas pemimpin pelajar menjadi antara faktor yang mendorong beliau memahami aspirasi anak muda yang mahu suara dan pemikiran mereka diberikan ruang.
Katanya, tidak banyak pemimpin sebelum ini yang benar-benar memahami kehendak mahasiswa untuk mengembangkan pemikiran secara bebas selain berani menyuarakan pandangan terhadap isu semasa.
“Anwar membuktikan beliau menjuarai aspek ini, mungkin kerana beliau sendiri adalah bekas pemimpin pelajar yang lantang menegakkan kebenaran, dengan memansuhkan AUKU 1971 yang ternyata tidak lagi relevan dan membatasi peluasan pemikiran anak muda terutama pelajar universiti.
“Walaupun mungkin berdepan tempoh masa yang panjang dan berpotensi untuk menjadi serangan berbalik ke atas kerajaan apabila mahasiswa bebas mengkritik kerajaan, tindakan Anwar ini sangat berani dan harus dipuji kerana membebaskan pemikiran serta suara anak muda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25, sebelum ini menyifatkan langkah memansuhkan AUKU akan menggalakkan budaya pemikiran kritis dan bebas di institusi pengajian tinggi (IPT).
G25 turut mengalu-alukan jaminan Anwar bahawa undang-undang yang akan menggantikan AUKU tidak akan menyekat hak dan kebebasan mahasiswa, selain menyifatkan pemerkasaan golongan muda perlu bermula di IPT.
Mengulas lanjut, Mohd. Izani berkata, pemansuhan AUKU dan pengenalan akta baharu perlu turut menekankan aspek pembinaan jati diri serta keperibadian unggul dalam kalangan mahasiswa.
Katanya, kebebasan yang lebih luas perlu disertai kefahaman mengenai tanggungjawab supaya mahasiswa tidak hanya diberikan hak untuk bersuara, tetapi mampu menggunakan kebebasan itu secara matang dan bertanggungjawab.
Beliau percaya akta baharu yang bakal diperkenalkan akan mengambil kira aspek berkenaan kerana kemenjadian mahasiswa yang kaya dengan nilai kemanusiaan perlu dipupuk dan diperkasakan sepanjang tempoh pengajian mereka di kampus.
“Dalam kata lain, bukan sekadar soal kecemerlangan akademik tetapi pemerkasaan mahasiswa yang lestari.
“Juga mahasiswa yang memahami erti tanggungjawab di sebalik hak yang diberikan. Kebebasan yang perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Anwar memberitahu kerajaan akan memansuhkan AUKU dan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Malah, Anwar turut memberi jaminan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tidak akan digantikan dengan undang-undang baharu yang mengongkong mahasiswa. – MalaysiaGazette















