Gambar tiga sekeluarga yang maut Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, yang merupakan pesara tentera bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, dalam kemalangan melibatkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur awal pagi tadi. Foto ABDULLAH YUSOF, 19 OGOS 2026

KUALA LUMPUR – Identiti tiga beranak yang maut dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi sudah dikenal pasti.

Mereka dikenali sebagai Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, merupakan pesara tentera bersama dua anak perempuannya,  Siti Nor Sazlim, 25 dan Siti Darwisyah Auni, 12.

Sementara itu, isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, yang turut menjadi mangsa dalam kejadian itu kini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa yang berkata, keluarga mangsa terlibat itu berasal dari Kampar, Perak.

Seorang lagi anak pasangan berkenaan, Siti Nor Shakira, 28, tidak terlibat dalam kemalangan itu kerana tidak mengikut keluarganya bercuti di ibu negara.

Tambah Mohd Zamzuri, kedua-dua pemandu lori berusia 43 tahun dan Proton Saga berumur 50 tahun dikenakan reman selama sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah Imigresen KL, Hamsha Injau dilihat hadiri di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) untuk bertemu dengan keluarga mangsa.

Tinjauan MalaysiaGazette di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) jam 1 tengah hari mendapati, Pengarah Imigresen KL, Hamsha Injau turut hadir bertemu dengan ahli keluarga mangsa.

Pada masa sama, pekarangan IPFN diselubungi dengan suasana hiba dengan beberapa ahli keluarga serta kenalan mangsa dilihat hadir.

Difahamkan, ketiga-tiga jenazah akan dibawa ke Kampar, Perak untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu selepas proses bedah siasat di sini selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here