Datuk Seri Ronald Kiandee.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani tidak seharusnya menjadikan peruntukan Ahli Parlimen sebagai ‘senjata politik’ untuk menghukum kawasan yang diwakili pembangkang, sebaliknya mekanisme penyalurannya perlu diinstitusikan melalui undang-undang supaya diberikan secara adil kepada semua wakil rakyat.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukan kawasan Parlimen bukan hak peribadi mana-mana Ahli Parlimen atau kerajaan, sebaliknya wang rakyat yang wajib diurus dan disalurkan secara telus, adil serta berintegriti.

Katanya, tuntutan supaya peruntukan sama rata diberikan kepada semua Ahli Parlimen bukan perkara baharu kerana pembangkang telah membangkitkan isu itu sejak empat tahun lalu.

“Saya sendiri bersama rakan-rakan Ahli Parlimen Pembangkang daripada Perikatan Nasional telah membawa perkara ini ke Parlimen dan mendesak supaya penyaluran peruntukan ini diinstitusikan melalui satu mekanisme yang adil, jelas dan telus serta tidak bergantung kepada budi bicara kerajaan atau pertimbangan kepentingan politik semata-mata,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

Ronald berkata, tuntutan pembangkang sebelum ini bukan sahaja tidak diberikan perhatian sewajarnya, malah isu berkenaan dibiarkan berlarutan sehingga disambut dengan pelbagai tohmahan dan retorik politik.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kini berbeza apabila suara supaya peruntukan Ahli Parlimen diberikan secara adil turut datang daripada wakil kerajaan sendiri.

“Saya mengalu-alukan keberanian Ahli Parlimen DAP dari dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan yang menyatakan pendirian mereka berhubung isu peruntukan Ahli Parlimen.

“Kelmarin, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang juga anggota Jemaah Menteri Kabinet dan hari ini Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan telah menyuarakan pandangan mereka mengenai perkara ini,” katanya.

Menurut Ronald, kerajaan tidak lagi boleh mendakwa tuntutan tersebut hanya datang daripada pihak pembangkang apabila suara yang sama kini kedengaran dari dalam kerajaan sendiri.

“Apabila suara yang sama datang daripada dalam Kerajaan sendiri, maka ia seharusnya diterjemahkan kepada satu keputusan dan tindakan yang nyata.

“Sekiranya suara Ahli Parlimen kerajaan sendiri ini juga tidak berhasil membawa perubahan, maka rakyat berhak menilai sama ada agenda reformasi yang sering dilaungkan benar-benar berasaskan prinsip, atau sekadar slogan yang berubah mengikut kedudukan politik,” katanya.

Ronald menegaskan, peruntukan kepada kawasan Parlimen perlu diberikan tanpa mengira parti atau kedudukan politik wakil rakyat kerana manfaatnya adalah untuk rakyat.

Katanya, kerajaan perlu segera menginstitusikan mekanisme penyaluran peruntukan melalui satu Rang Undang-Undang (RUU), bukannya menyerahkan perkara itu kepada budi bicara pihak yang memerintah.

“Peruntukan Ahli Parlimen tidak seharusnya menjadi instrumen politik kerajaan yang boleh diberi atau dinafikan berdasarkan siapa yang memerintah dan siapa yang menjadi pembangkang.

“Ia perlu menjadi satu hak yang tertakluk kepada peraturan yang jelas, telus dan terpakai secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Ronald turut menyeru Ahli Parlimen kerajaan daripada PKR dan Parti Amanah Negara (Amamah) supaya menyatakan pendirian mereka secara terbuka berhubung isu tersebut.

Katanya, jika benar agenda reformasi yang dibawa kerajaan berasaskan prinsip dan bukannya kepentingan politik, inilah masanya tindakan tuntas diambil bagi memastikan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen disalurkan secara adil, telus dan berasaskan undang-undang.

“Jangan jadikan peruntukan rakyat sebagai alat politik. Institusikan mekanismenya melalui undang-undang supaya keadilan tidak bergantung kepada siapa yang menjadi kerajaan dan siapa yang menjadi pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here