KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menjelaskan dengan terang bentuk sebenar sistem percukaian yang menggabungkan elemen Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Ketua Penerangan Nasional, Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan tidak boleh sekadar menegaskan mahu mengambil kelebihan daripada kedua-dua sistem percukaian berkenaan.
Ini kerana, menurutnya, GST dan SST mempunyai struktur yang berbeza dan jika mahu digabungkan, rakyat dan dunia perniagaan berhak mengetahui mekanismenya, kadar cukai, skop barangan dan perkhidmatan, threshold pendaftaran serta bagaimana kredit cukai input akan dikendalikan.
“Peniaga perlukan kepastian, bukan eksperimen fiskal.
“PKS hari ini sudah berdepan pelbagai perubahan serentak. Mereka sedang menyesuaikan sistem perakaunan dan operasi kepada e-Invois, sambil menanggung peningkatan kos bahan mentah, utiliti, tenaga, logistik dan upah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Wan Fayhsal, sebarang sistem cukai baharu akan membawa kos tambahan, daripada perubahan perisian dan latihan kakitangan kepada yuran perakaunan serta penyusunan semula proses invois dan tuntutan.
Disebabkan itu, ujarnya, kerajaan wajib membentangkan kajian impak dan kos pematuhan sebelum mengumumkan arah dasar baharu.
“Jangan umumkan slogan dahulu, kemudian baru fikir bagaimana sistem hendak dilaksanakan,” katanya.
Lebih penting, tambah beliau, kos kepada perniagaan akhirnya tidak berhenti pada perniagaan yang mana apabila kos operasi meningkat, sebahagiannya akan dipindahkan kepada harga barang dan perkhidmatan dan yang akhirnya membayar ialah pengguna.
“Jika kerajaan mendakwa sistem hibrid ini lebih progresif dan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah, tunjukkan buktinya dengan angka.
“Berapa hasil tambahan kepada kerajaan? Berapa kos kepada PKS? Apa kesannya kepada inflasi dan harga barang? Siapa yang akan membayar lebih dan siapa yang akan membayar kurang?
“Ini sepatutnya dijawab sebelum sistem baharu diumumkan, bukannya selepas rakyat dan peniaga diminta menyesuaikan diri,” katanya. – MalaysiaGazette
















