Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 18 Ogos 2026, sebanyak 1,079 titik panas dikesan di Kalimantan, 20 di Sumatera dan lapan di Malaysia, masing-masing tiga di Sabah dan lima di Sarawak.

KUALA LUMPUR – Kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak merosot apabila tujuh kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 4 petang tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, bacaan tertinggi direkodkan di Serian dengan IPU 165, diikuti Sri Aman (161) dan Kuching (160).

Lima lagi kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Mukah (154), Samarahan (135), Bintulu (130) dan Sibu (129).

Pada masa sama, enam kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala 55 kawasan berada pada tahap sederhana.

Azuri Azizah berkata, kemerosotan kualiti udara itu termasuk peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di Sarawak disebabkan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 18 Ogos 2026, sebanyak 1,079 titik panas dikesan di Kalimantan, 20 di Sumatera dan lapan di Malaysia, masing-masing tiga di Sabah dan lima di Sarawak.

Peta Jerebu Serantau ASMC turut menunjukkan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan ASEAN selatan, kecuali beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan bahagian utara Sumatera yang menerima hujan.

Titik panas dikesan secara meluas di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan, selain beberapa kawasan lain di Kalimantan, Kepulauan Sunda Kecil, Sumatera, Pulau Jawa dan Sulawesi.

Menurut beliau, kepulan asap sederhana hingga padat dikesan di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan, manakala kepulan asap sederhana dari Kalimantan Barat turut bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.

Susulan perkembangan itu, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan situasi jerebu.

Beliau turut menasihatkan pemilik tanah supaya memantau kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

Aktiviti luar bilik darjah pula perlu dihentikan apabila IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.

Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

Orang ramai dinasihatkan merujuk bacaan IPU terkini setiap jam melalui laman sesawang JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS, selain mendapatkan nasihat kesihatan berkaitan jerebu daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan premis dan tanah diceroboh sehingga menyebabkan kebakaran.

Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga maksimum RM1 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai turut diminta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here