PUTRAJAYA – Di sebalik kesibukan tugas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi tiga tokoh ulama dunia Islam yang kini berada di Malaysia.
Anwar berkata, beliau berkesempatan singgah ke Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya untuk bertanya khabar serta memohon nasihat dan doa daripada tokoh ulama berkenaan.
Mereka ialah tokoh ulama hadis Mesir, Syeikh Dr Mustafa al-Nadwi Al-Hasani; ulama al-Quran, Syeikh Dr Ahmad Isa Al-Ma’sarawy dan Pemegang Amanah Utama bagi Wakaf Masjid dan Maqam Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Al-Syeikh Al-Sayyid Afeefuddin Al-Jailani.
“Saya gunakan kesempatan ini untuk bertanya khabar, memohon nasihat dan doa, serta merakamkan penghargaan atas kesudian mereka hadir berkongsi ilmu dan hikmah, di samping menyemarakkan syiar Islam di tanah air,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Anwar, pertemuan itu turut memberi peluang untuk menghargai kesudian ketiga-tiga tokoh ulama berkenaan hadir ke Malaysia bagi berkongsi ilmu dan hikmah bersama masyarakat.
Beliau berharap kehadiran mereka dapat menyumbang kepada pertambahan ilmu, keberkatan serta kecintaan terhadap agama dalam kalangan masyarakat.
“Semoga kehadiran para ulama ini terus memperkukuh usaha membina masyarakat yang berakhlak, berilmu serta hidup dalam keharmonian,” katanya. – MalaysiaGazette
















