Perbezaan wajah Xu Jiayin pada tahun 2012 dan sekarang yang tular di media sosial.

 

BEIJING – China menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap pengasas gergasi hartanah Evergrande, Xu Jiayin, dan mendenda kumpulan berkenaan lebih AS$2 bilion pada Khamis atas kesalahan termasuk penipuan, lima tahun selepas syarikat itu gagal melunaskan hutangnya.

Evergrande Group sebelum ini menjadi antara nama utama dalam sektor hartanah China, ketika syarikat itu memanfaatkan ledakan pasaran hartanah selama beberapa dekad dengan menawarkan impian pemilikan rumah kepada rakyat.

Namun, akses syarikat itu kepada kredit menyusut secara mendadak selepas kerajaan memperkenalkan sekatan terhadap pinjaman berlebihan dan spekulasi.

Syarikat berkenaan gagal melunaskan hutangnya pada 2021 selepas bergelut membayar pemiutang.

Pada Khamis, sebuah mahkamah di selatan China mengenakan denda keseluruhan sebanyak 15.82 bilion yuan (AS$2.4 bilion) terhadap syarikat itu dan cabang hartanahnya.

Mahkamah Pertengahan Shenzhen di wilayah Guangdong turut menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Xu atas kesalahan termasuk “penipuan kewangan berskala besar”, menurut mahkamah dalam hantaran di akaun WeChatnya.

“Xu Jiayin dijatuhi hukuman atas beberapa kesalahan dan didenda, menerima hukuman penjara seumur hidup, dilucutkan hak politik seumur hidup serta semua harta peribadinya dirampas,” menurut kenyataan itu.

Antara 2016 hingga 2021, Evergrande dan Xu selaku pengasas serta ketua syarikat itu “melanggar undang-undang negara dengan melakukan penipuan kewangan berterusan berskala besar serta kaedah lain untuk meningkatkan aset secara palsu dan menyembunyikan liabiliti”, menurut mahkamah.

Mahkamah turut berkata, pihak berkenaan memperoleh kawalan terhadap institusi kewangan melalui pemberian rasuah, tanpa menamakan institusi terbabit.

Xu mengaku bersalah pada April lalu atas pertuduhan yang turut merangkumi pecah amanah dan rasuah, menurut mahkamah ketika itu.

Keputusan mahkamah itu menamatkan kejatuhan mendadak Xu, 67, yang pernah menjadi antara bilionair terkaya di China dan anggota badan penasihat politik tertinggi Parti Komunis China.

Pada Khamis, gambar perbandingan sebelum dan selepas Xu turut tersebar luas di media sosial.

Gambar lama menunjukkan Xu tersenyum ketika dikejar wartawan dengan rambut hitam dan memakai tali pinggang Hermes berwarna emas.

Ia dibandingkan dengan gambar yang dikeluarkan mahkamah pada Khamis, menunjukkan Xu dengan rambut putih dan wajah serius, diapit dua anggota polis ketika berdepan panel hakim.

Mahkamah berkata, tindakan Xu dan Evergrande “serius menjejaskan ketenteraman ekonomi pasaran sosialis” serta menjejaskan integriti pegawai kerajaan.

“Keadaan itu amat serius, menyebabkan kerugian ekonomi yang sangat besar dan kemudaratan sosial yang amat serius,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here