MELAKA – ‘Memanglah, kita ni anak dara yang cantik, jadi ramailah orang nak meminang,”
Itu kiasan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika mengulas situasi Barisan Nasional (BN) yang kini menjadi pilihan beberapa parti untuk membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi
Ab Rauf yang juga Pengerusi BN negeri berkata, beliau akan menilai semua kemungkinan termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama sebelum membuat keputusan mengenai hala tuju politik negeri itu.
“Kita tunggulah. Jadi pastinya saya sebagai ketua dalam keluarga ini memilih siapa yang memberi mas kahwin yang terbaiklah untuk nak menjadi ‘menantu’ saya.
“Semua orang tunggu…tunggu dan saya akan membuat perbincangan, dan hasilnya saya akan beritahu kepada seluruh rakyat Melaka yang menanti-nanti keputusan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi Melaka selepas menghadiri perbicaraan kes saman fitnah beliau terhadap Timbalan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad di sini hari ini.
Ab Rauf ditanya perkembangan PRN negeri apabila pimpinan PN dan PH masing-masing menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan BN menghadapi PRN Melaka.
Menurutnya, setakat ini belum ada pertemuan rasmi dengan mana-mana parti untuk membincangkan kerjasama itu termasuk melalui formula BN Plus dan sebarang rundingan akan menggunakan ibu pejabat UMNO sebagai lokasi perbincangan dan bukannya di Melaka.
“Setakat hari ini belum ada lagi. Saya pastinya akan menggunakan ibu pejabat UMNO sebagai tempat perundingan, bukan di Melaka,” katanya.
Ab Rauf sebelum ini menyatakan BN Melaka terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN negeri itu, termasuk melalui formula BN Plus. – MalaysiaGazette
















