JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mahu setiap pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) mampu memberi nilai tambah lebih besar kepada ekonomi negeri.
Menurut beliau, khususnya membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta ruang pertumbuhan kepada syarikat, vendor, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan tempatan.
Onn Hafiz memberitahu, sejak Januari 2025, sebanyak 1,436 pertanyaan pelaburan diterima menerusi Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J).
“Ini termasuk 43 prospek pelaburan yang dirujuk oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB) dan Enterprise Singapore. Jumlah ini merupakan momentum yang dicapai setakat ini,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, bagi mengukuhkan pencapaian sedia ada beliau turun sendiri ke Singapura semalam mengadakan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat.
“Pertemuan ini menjadi satu lagi ruang untuk memperkukuh hubungan Johor-Singapura serta menyelaras langkah seterusnya bagi memastikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bergerak daripada perancangan kepada pelaksanaan yang tersusun dan berkesan.
“Antara yang diberikan perhatian ialah persediaan ke arah pelancaran Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ pada penghujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, ia termasuk usaha menarik pelabur strategik berimpak tinggi, memperkukuh rantaian bekalan serta penglibatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sertai memudahkan urusan perniagaan serta pergerakan barangan antara Johor dan Singapura.
Bagi Johor kemasukan pelaburan perlu membawa nilai tambah yang lebih besar kepada ekonomi negeri, katanya.
“Ia bukan sahaja perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi untuk anak-anak Johor malah membuka lebih banyak peluang kepada syarikat, vendor, PKS dan usahawan tempatan untuk berkembang bersama-sama serta memastikan limpahan ekonomi JS-SEZ dapat dinikmati negeri dan seluruh Bangsa Johor.
“Secara keseluruhan pertemuan ini cukup positif dan pelbagai perkara dibincangkan secara terbuka,” ujarnya yang berterima kasih kepada Hong Tat atas kesudian meluangkan masa serta komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama itu.
Beliau berharap pertemuan itu menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kerjasama Johor-Singapura seterusnya melancarkan pelaksanaan JS-SEZ selain memastikan segala perancangan dilaksana dengan baik dan sistematik.- MalaysiaGazette
















