GEORGE TOWN – Sebuah bot nelayan tempatan bersama empat kru warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang semalam kerana disyaki melanggar syarat sah lesen menangkap ikan.
Kesemua mereka ditahan bersama bot dan hasil rampasan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3 juta.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan itu dilakukan susulan maklumat risikan mengenai bot kelas C berkenaan yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai, iaitu di luar zon operasi yang dibenarkan mengikut syarat lesen.
“Bertindak atas maklumat risikan itu, penahanan dilakukan berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung kira-kira jam 7 malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendali tekong bersama tiga kru dan kesemuanya merupakan warga Thailand berusia antara 52 hingga 57 tahun.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi di zon yang tidak dibenarkan mengikut syarat lesen,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Muhammad Suffi, kesemua kru bersama bot serta hasil rampasan yang dianggarkan bernilai RM3 juta itu ditahan dan dibawa ke Jeti Batu Maung.
“Kesemua mereka kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri bagi tindakan dan siasatan lanjut.
“Maritim Malaysia terus mempertingkat rondaan serta penguatkuasaan bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara dan sebarang pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pinang di talian 04 262 6146 atau MERS 999 bagi tindakan segera. – MalaysiaGazette
















