KUANTAN – Lelaki yang hilang selepas terjatuh sungai ketika memancing berhampiran Klinik Desa Kampung Lebak Seberang, Temerloh kelmarin ditemukan meninggal dunia hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan, mayat mangsa, Muhamed Hanifa Mammu, 47, ditemukan kira-kira jam 7.05 pagi tadi pada jarak 150 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, bomba memaklumkan menerima laporan kejadian terbabit kira-kira jam 11.09 malam kelmarin sebelum mengerahkan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin ke lokasi untuk memulakan pencarian di permukaan air.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan keesokan harinya pada jam 8 pagi di mana Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim turut hadir meninjau operasi.
Hari kedua SAR yang turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Bukit Angin kemudian ditangguhkan sekitar jam 6.15 petang semalam dan bersambung semula pagi ini kira-kira jam 6.50 pagi tadi sebelum mayat mangsa berjaya ditemukan.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki hilang ketika memancing disyaki lemas di Sungai Lebak
















