Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari bercakap dalam sidang media di lokasi serbuan malam tadi.

SHAH ALAM – Kegiatan cuci pasir secara haram di Jalan Lapangan Terbang Subang Lama, di sini hingga mengakibatkan pencemaran sungai terbongkar menerusi Op Mega Gali, semalam.

Operasi itu dijalankan oleh Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, operasi itu bagi membanteras kegiatan perlombongan tidak sah yang melanggar undang-undang.

“Dalam serbuan jam 3.30 petang, kita mengesan sebuah tapak operasi haram berkeluasan kira-kira 0.64 hektar di Lot PT89, Jalan Lapangan Terbang Subang Lama, dipercayai memproses pasir tanpa kebenaran.

“Hasil serbuan di tapak ini oleh Batalion 4 PGA, seramai 12 individu telah ditahan terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan tujuh lelaki warga asing. Malah semakan mendapati, kegiatan perlombongan ini telah beroperasi kira-kira lapan tahun.

“Modus operandi sindiket ini dikesan membawa masuk pasir berkenaan dari kawasan luar termasuk sisa tapak pembinaan untuk dicuci dan diproses menjadi pasir halus,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan, malam tadi.

Kegiatan cuci pasir haram di kawasan seluas kira-kira 0.64 hektar di Jalan Lapangan Terbang Subang Lama di sini hingga mengakibatkan pencemaran sungai dibongkar.

Tambah beliau, pasir berkenaan dicuci menggunakan sumber air sungai berdekatan dan kegiatan mereka dikesan beroperasi pada waktu siang.

“Mereka akan melepaskan sisa basuhan tanpa secara terus ke dalam sungai berhampiran menyebabkan pencemaran dan kekeruhan air yang ketara di kawasan sekitar.

“Pasir berkenaan kemudian dijual semula pada harga RM500 hingga RM600 selori dan difahamkan sebanyak 30 hingga 60 lori akan bergerak keluar setiap hari (dijual),” ujarnya.

Susulan itu, kata beliau, pihaknya merampas 1,500 tan pasir, jentera berat serta peralatan mencuci dan memproses pasir yang disyaki digunakan untuk kegiatan perlombongan secara tidak sah, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM5 juta.

Antara 12 individu ditahan dalam serbuan Op Gali Mega di Jalan Lapangan Terbang Subang Lama.

Mengulas lanjut, Hakemal memberitahu, lokasi terbabit antara tujuh tempat digempur Briged Tengah PGA di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM13.26 juta.

“Dalam operasi jam 11  pagi bermula 19 Ogos lalu, secara keseluruhan seramai 31 individu telah diperiksa dalam operasi ini dengan 15 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Kejayaan ini adalah hasil pengumpulan maklumat, risikan dan pemantauan yang berterusan serta tindakan pantas anggota di lapangan.

“Saya ingin menegaskan bahawa Briged Tengah PGA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Orang awam juga diminta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan di kawasan masing-masing,” jelasnya.

Katanya, kesemua tangkapan akan disiasat dibawah Akta Kanun Tanah Negara 56/1965, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Undang-Undang Kecil 2021.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here