KUALA LUMPUR – Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada Oktober ini perlu memberi perhatian lebih khusus kepada golongan M40 yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup bandar, komitmen hutang serta akses bantuan kerajaan yang lebih terhad.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Salwani Arbak berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menggunakan Belanjawan 2027 sebagai ruang memperkukuh intervensi kepada kumpulan berkenaan.
Katanya, golongan M40 di bandar sering dilihat sebagai ‘kelas sandwich’ kerana berdepan tekanan kewangan tinggi, namun pada masa sama kerap terlepas daripada bantuan bersasar yang lebih banyak dikhususkan kepada B40.
“Di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, pendapatan isi rumah M40 dalam lingkungan RM7,000 hingga RM10,000 tidak lagi sepadan dengan kos perumahan, pengangkutan dan penjagaan anak yang semakin membebankan.
“Malah, pendapatan isi rumah sehingga RM13,000 di bandar besar kini boleh dikategorikan sebagai M40 atau mengalami tekanan kewangan yang serius akibat kos hidup yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Salwani berkata, meskipun kerajaan telah menyatakan niat memberi tumpuan khusus kepada M40 dalam Belanjawan 2027, pendekatan berkenaan perlu diterjemahkan melalui intervensi dasar yang strategik dan berasaskan bukti.
“Kita memerlukan intervensi dasar yang strategik, berani dan berpandukan bukti termasuk mengadaptasi model yang telah terbukti berjaya di negara lain,” katanya.
Beliau mencadangkan enam teras intervensi yang boleh dipertimbangkan kerajaan, bermula dengan perumahan mampu milik dan sokongan sewaan.
Katanya, kerajaan boleh memperkenalkan pelepasan cukai pendapatan baharu atau meningkatkan had pelepasan sedia ada bagi bayaran sewa rumah isi rumah M40 di kawasan bandar, selain memperluas skim Rent-to-Own (RTO) melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju swasta.
“Rangka kerja dasar juga boleh dipertimbangkan untuk mengawal kenaikan harga sewa yang tidak munasabah di kawasan tumpuan bandar, sekali gus melindungi penyewa daripada eksploitasi pasaran,” katanya.
Teras kedua pula membabitkan pengangkutan dan mobiliti bandar menerusi subsidi pas bulanan pengangkutan awam, diskaun tol bersasar antara 30 hingga 50 peratus kepada pengguna M40 berdaftar melalui sistem RFID serta peluasan insentif cukai atau rebat pembelian kenderaan elektrik (EV).

Bagi teras ketiga, Salwani mencadangkan kerajaan meningkatkan had pelepasan cukai bagi yuran taska dan pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar daripada RM10,000 kepada RM15,000 setahun.
Kerajaan juga dicadang memperkenalkan skim ‘Voucher Penjagaan Anak Dipadankan’ dengan sumbangan bersama kerajaan dan majikan bagi membantu keluarga M40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan anak berkualiti.
“Teras keempat pula melibatkan penstrukturan subsidi dan jaring pengaman kos sara hidup dengan memastikan penstrukturan subsidi seperti elektrik atau bahan api tidak membebani M40 secara tiba-tiba.
“Antaranya melalui pengenalan rebat bil utiliti bersasar atau kredit e-dompet berkala yang dikhususkan untuk pembelian barangan keperluan asas,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mengkaji semula ambang pendapatan M40 supaya lebih mencerminkan kos sara hidup sebenar di bandar dan tidak hanya bergantung kepada purata kebangsaan.
“Teras kelima pula melibatkan insentif cukai dengan eningkatkan had pelepasan cukai untuk perbelanjaan perubatan, termasuk rawatan kesihatan mental dan saringan kesihatan pencegahan, memandangkan kos rawatan swasta di bandar adalah sangat tinggi.
“Memberikan potongan cukai korporat tambahan kepada syarikat yang melaksanakan model upah progresif dan memberikan kenaikan gaji bermakna kepada pekerja kategori M40, sebagai penyelesaian jangka panjang untuk meningkatkan daya beli rakyat,” katanya.
Teras keenam pula, tambahnya, adalah sokongan kemahiran dan kesejahteraan pekerjaan melalui pengenalan baucar latihan kemahiran digital dan profesional bernilai tinggi yang dibiayai sepenuhnya.
“Langkah ini membolehkan golongan M40 meningkatkan nilai pasaran mereka, sekali gus membuka peluang kepada kenaikan pangkat atau memperoleh gaji yang lebih kompetitif, katanya. – MalaysiaGazette
















