KUANTAN – Seorang pembantu kedai makan warga negara Filipina dihukum penjara lima bulan selepas didapati bersalah mengemukakan butiran palsu ketika memohon gantian kad pengenalan hilang.
Tertuduh, Lorna Adilun, 45, sebelum itu mengaku bersalah melakukan kasalahan itu ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ellyana Othman di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja memberikan maklumat palsu dalam butir material semasa membuat Permohonan Gantian Kad Pengenalan Hilang milik individu lain kira-kira jam 4.19 petang pada 19 Jun 2026.
Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Lorna yang berasal dari Suluk, Filipina memilih untuk menjalani hukuman penjara.
Dia memaklumkan hanya memperoleh pendapatan RM80 sehari dan tinggal dengan majikannya.
Mengikut fakta kes, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan imej AFIS dan cap ibu jari (CIJ) yang diberikan ketika proses permohonan wanita itu didapati tidak sepadan dengan identiti asal pemilik kad pengenalan tersebut.
Lorna ditahan pada 18 Ogos lalu ketika hadir ke Pejabat JPN untuk menuntut kad pengenalan baharu yang telah dipohon itu.
JPN memaklumkan bahawa hasil siasatan lanjut mendapati, kad pengenalan itu didakwa dibeli daripada seorang individu dengan harga RM1,500.
Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya JPN, Fakhrol Anuar Sani. – MalaysiaGazette
















