Kelawar bakal dijadikan bioindikator untuk menilai tahap biodiversiti dan perubahan ekologi dalam landskap tanaman sawit.

KUALA LUMPUR – Kelawar bakal dijadikan bioindikator untuk menilai tahap biodiversiti dan perubahan ekologi dalam landskap tanaman sawit menerusi kajian selama dua tahun yang dibiayai Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

MPOGCF dalam kenyaan memaklumkan, kajian itu akan meneliti kepelbagaian dan aktiviti kelawar merentasi tiga habitat utama iaitu kawasan hutan, sempadan hutan-ladang serta kawasan tanaman sawit yang terletak lebih jauh dari hutan.

Katanya, pendekatan berkenaan dipilih kerana kelawar sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran termasuk struktur habitat, ketersediaan makanan dan tahap gangguan.

“Corak kehadiran, kepelbagaian spesies serta aktiviti kelawar boleh menjadi petunjuk penting terhadap keadaan ekologi sesuatu landskap,” menurut kenyataan itu.

Kajian bertajuk “Assessing Multiple Functional Habitats in Forest Patch–Oil Palm Interfaces Using Bat Sampling in WILMAR Plantation” itu akan dilaksanakan di enam ladang sawit milik PPB Oil Palms Berhad, Wilmar di Miri, Sarawak dan dijangka selesai pada akhir 2027.

MPOGCF berkata, pihaknya menyediakan pembiayaan sebanyak RM190,000 bagi kajian berkenaan yang diketuai Pengarah Institute of Biodiversity and Environmental Conservation (IBEC), UNIMAS, Prof. Ts. Dr. Mohd Azlan Jayasilan Abdul Gulam Azad.

Jelasnya, kajian itu bukan sekadar merekodkan spesies kelawar yang terdapat di kawasan berkenaan, sebaliknya bertujuan menghasilkan bukti saintifik bagi membantu industri memahami bagaimana pengurusan landskap sawit boleh menyokong biodiversiti serta fungsi habitat.

Ujarnya, dapatan kajian turut diharapkan dapat mengenal pasti perbezaan nilai biodiversiti antara kawasan hutan, kawasan peralihan hutan-ladang dan kawasan tanaman sawit.

MPOGF menambah, maklumat tersebut seterusnya dapat membantu pemain industri membuat keputusan berkaitan usaha pemuliharaan secara lebih berasaskan bukti saintifik.

Kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara MPOGCF dan UNIMAS di kampus induk UNIMAS di Kota Samarahan, Sarawak pada 13 Ogos lalu.

MPOGCF diwakili Pengurus Besar, Hairulazim Mahmud, manakala UNIMAS diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib.

Majlis berkenaan disaksikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Dr. Ramle Moslim.

Turut hadir, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan), Dr. Mohd Hefni Rusli; Pengarah Strategik dan Polisi CPOPC, Dr. Chandran Gunalan; serta Pengarah Bahagian Penyelidikan Biologi dan Kelestarian MPOB, Dr. Meilina Ong Abdullah.

MPOGCF yakin dapatan kajian itu akan menyediakan asas saintifik yang lebih kukuh kepada industri sawit Malaysia dalam merancang dan mempertingkat usaha pemuliharaan biodiversiti, khususnya di kawasan pertemuan antara habitat hutan dengan landskap tanaman sawit. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here