KUALA LUMPUR — Sindiket dipercayai menggunakan pasport China yang tidak disenarai hitam untuk membawa masuk individu ke Malaysia sebelum terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 21 individu dalam operasi di KLIA Terminal 1 dan Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin.
Operasi khas yang bermula kira-kira pukul 5.55 petang itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan, membabitkan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta Bahagian Keselamatan dan Pasport, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan di KLIA, JIM menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai ahli sindiket serta dua warganegara China, masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia antara 50 hingga 53 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati, sindiket dipercayai menguruskan kemasukan warga asing ke Malaysia, khususnya warganegara China yang telah disenarai hitam oleh JIM.
“Suspek yang disenarai hitam itu dipercayai memiliki dua pasport China dengan nombor berbeza.
“Pasport yang tidak disenarai hitam digunakan untuk melepasi pemeriksaan menerusi e-Gate di KLIA, manakala pasport yang disenarai hitam ditemui dalam beg suspek.
“Ahli sindiket yang ditahan dipercayai berperanan menghantar warganegara China terbabit ke lokasi ditetapkan dengan bayaran antara RM150 hingga RM500 seorang, bergantung kepada destinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi itu, JIM menyita empat pasport China, empat telefon bimbit dan sebuah Proton X70 yang dipercayai digunakan bagi kegiatan sindiket.
Zakaria berkata, hasil soal siasat membawa pasukan operasi ke sebuah premis kediaman di Taman Desa Melati, Nilai, sebelum menahan empat individu yang dipercayai sebagai dalang utama, terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan warganegara China serta seorang perempuan warganegara Rusia.
Turut ditahan ialah 14 individu dipercayai ahli sindiket, terdiri daripada sembilan lelaki warganegara China, seorang lelaki Vanuatu, seorang lelaki Pakistan serta masing-masing seorang perempuan China, India dan Myanmar.
Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 23 hingga 33 tahun dan semakan awal mendapati mereka memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).
Menurut Zakaria lagi, pemeriksaan di premis berkenaan turut membawa kepada penyitaan 28 pasport China, masing-masing satu pasport Myanmar, India, Vanuatu dan Rusia, 11 set komputer meja, sebuah komputer riba, 40 telefon bimbit serta wang tunai RM4,800 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.
JIM mendapati, premis kediaman mewah di kawasan terpencil itu dipercayai dijadikan pusat operasi bagi menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.
Tambahnya, sindiket dipercayai menggunakan platform Telegram dan WhatsApp untuk memperdaya mangsa melalui taktik ‘love scam’ serta penjualan barangan palsu dengan sasaran mangsa di luar negara.
Ahli sindiket juga katanya, dipercayai menggunakan skrip tertentu untuk memperdaya mangsa dan menerima komisen berdasarkan jumlah mangsa yang berjaya ditipu.
Sindiket itu dipercayai mampu meraih keuntungan sehingga AS$50,000 menerusi kegiatan tersebut yang dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun ini.

Secara keseluruhan, seramai 21 individu ditahan di dua lokasi dalam operasi berkenaan.
Ahli sindiket warga tempatan serta empat individu yang dipercayai dalang utama ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Warga asing lain pula ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Zakaria menegaskan, JIM akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan secara tegas dan berterusan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
Beliau berkata, tindakan itu penting bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan sejahtera. – MalaysiaGazette
















