PUTRAJAYA – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) direman tujuh hari sehingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia berkaitan dengan dakwaan salah laku dan kelemahan tadbir urus yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Perintah reman terhadap individu berusia 60-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas SPRM membuat permohonan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Terdahulu bekas CEO TH itu yang memakai pakaian berwarna jingga tertulis lokap SPRM tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 9.40 pagi tadi.
Beliau kemudiannya beredar daripada Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 11.33 pagi selepas proses reman selesai.

Sebelum ini, individu yang bergelar Tan Sri itu pernah menerajui TH dan turut mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat serta pernah memegang jawatan kanan di beberapa syarikat terkemuka.
Pada 15 Ogos lalu, SPRM mengesahkan penahanan tujuh individu terdiri daripada seorang CEO syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH bagi membantu siasatan berkaitan RCI TH.
Dalam perkembangan itu, hanya dua suspek lelaki direman selama lima hari sehingga 19 Ogos lalu, manakala lima lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.
Siasatan berkenaan antara lain menyentuh dakwaan berkaitan urusan pelaburan, dokumen pembayaran serta perjanjian pajakan empat hotel di Arab Saudi bernilai kira-kira SR2.49 bilion menyebabkan kerugian kepada TH.
SPRM dijangka meneliti dokumen, rekod transaksi, minit mesyuarat serta keputusan pengurusan yang berkaitan selain merakam keterangan individu yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara berkenaan.
Siasatan terhadap kes itu dijalankan mengikut peruntukan Akta SPRM 2009, termasuk Seksyen 18 dan Seksyen 16(a)(A) bagi kes-kes terdahulu berkaitan RCI TH. – MalaysiaGazette
















