JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan warga Singapura dipenjara 14 hari dan denda RM7,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menghina agama Islam, hujung bulan lalu.
Majistret A Shaarmini menjatuhi hukuman tersebut selepas tertuduh Mohamed Anim Atam yang berusia 56 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Ogos lalu, jika gagal bayar tiga bulan penjara.
Pendakwaan ke atasnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar.
Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama mana-mana orang dengan menyebut “kalau betul Al-Quran itu, kalau kau belajar, its very dangerous book of killing, kerja dia asyik membunuh, membunuh, membunuh, tak ada kasih sayang, ini semua bohong punya, aku tak percaya,” yang didengar seorang lelaki.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dari Jalan Tun Razak hingga Jalan Meldrum di Johor Bahru pukul 5 petang, 30 Julai lalu.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 298 yang memperuntukkan penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu hukuman denda memandangkan dia menghidap darah tinggi dan perlu hadir ke mahkamah kerana sedang dalam proses penceraian.
Pendakwaan kemudian memohon satu hukuman setimpal memandangkan perbuatan tertuduh yang menyentuh isu 3R selain kes berkenaan tular di media sosial pada 30 Julai lalu.
Berdasarkan fakta kes, dia dengan sengaja menyebut perkataan-perkataan itu ketika menaiki kenderaan e-hailing sebelum pemandu itu, Muhamad Danial Haikal Nadzahakim, 29, memuat naik video perbualan tersebut di media sosial.
Pengadu kemudiannya membuat laporan polis pada 31 Julai sebelum tangkapan dibuat di kawasan Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Cagar di sini pukul 4.15 petang.
Pada 30 Julai lalu, tular satu video berdurasi 2 minit 20 saat memaparkan perbualan seorang lelaki dengan pemandu e-hailing yang menghina agama Islam ketika menaiki kereta berkenaan dari Jalan Tun Razak sehingga Jalan Meldrum, Johor Bahru.
Menerusi video berkenaan, kedengaran suara lelaki dipercayai penumpang e-hailing yang mengatakan bahaya membaca dan mempelajari al-Quran kerana mengajar soal pembunuhan.
“Yes, kalau kau baca al-Quran tu semua, kalau betul-betul al-Quran tu, kalau kau belajar, it’s very dangerous. Book of killing. Kerja dia asyik membunuh, membunuh, membunuh, takda kasih sayang, ini semua bohong punya, aku tak percaya,” katanya.
Seorang lagi lelaki dipercayai pemandu e-hailing pula kedengaran membidas kenyataan penumpang itu dan memintanya berhati-hati ketika berbicara.
“Cakap hati-hati bang. Saya agama Islam, abang bercakap hati-hati bang. Cara abang cakap ni anytime saya boleh kick abang, saya cakap betul. Agama saya Islam bang. Kalau abang dah keluar Islam, jangan hina agama saya. Agama saya jangan buat main.
“Nabi saya bermati-matian naikkan agama Islam, jangan sesekali hina agama Islam. Jangan main-main dengan agama aku. Kau nak murtad, kau murtad sorang,” katanya.
Turut kedengaran penumpang e-hailing itu kemudian meminta maaf sebelum dipercayai turun dari kenderaan itu selepas pemandu e-hailing berhenti di tepi jalan.- MalaysiaGazette
















