LONDON – Rundingan antara Manchester United dan Brighton & Hove Albion kini berada di peringkat akhir bagi menyelesaikan beberapa butiran terakhir sebelum perpindahan Carlos Baleba dimuktamadkan, lapor Sky Sports.
Laporan itu berkata, pengurusan Man United sudah menyediakan draf kontrak selama lima tahun untuk ditandatangani oleh pemain muda berusia 22 tahun itu.
Pemain tengah kelahiran Cameroon itu dijangka akan memuktamadkan kesepakatan peribadinya sebaik sahaja Manchester United dan Brighton mencapai kesepakatan rasmi.
Semantara itu, laporan lain daripada wartawan terkenal David Ornstein mendedahkan bahawa Baleba kini sedang dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ligamen pada buku lalinya.
Menurutnya, kecederaan tersebut tidak berada pada tahap serius seperti yang dibimbangkan pada awalnya.
“Baleba juga dijangka tidak perlu berehat untuk tempoh panjang dan dijangka kembali cergas sepenuhnya menjelang penghujung September.
“Perkembangan positif itu turut memberi kelegaan kepada Manchester United yang kini boleh meneruskan perancangan mereka untuk mendapatkan pemain antarabangsa Cameroon tersebut.
Man United melihat Baleba sebagai pemain yang mampu memberikan tambahan penting di bahagian tengah.
Ini kerana kekuatan fizikal, kemampuan memenangi perebutan bola serta kebolehannya melindungi barisan pertahanan dianggap sesuai dengan keperluan skuad kendalian Michael Carrick. – Agensi
















