KUALA LUMPUR – Penyerang prolifik Harimau Malaya, Syafiq Ahmad memilih KL City FC sebagai destinasi baharu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) untuk musim 2026/2027 selepas meninggalkan Brunei DPMM.
“Syafiq Ahmad kini menjadi sebahagian daripada City Boys.
“Kami berbesar hati mengumumkan Syafiq Ahmad sebagai pemain baharu kami bagi musim 2026/2027,” kata KL City.
Bekas pemain Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bakal merebut tempat di bahagian serangan KL City dengan seorang lagi pemain berpengalaman dan baharu The City Boys iaitu Hazwan Bakri.
Nama Syafiq di pentas Liga Malaysia sememangnya tidak asing lagi kerana penyerang kelahiran Sungai Ara itu telah memenangi semua gelaran Liga Super, Piala FA, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia sepanjang bersama Harimau Selatan.
Dia turut memenangi satu Piala FA musim 2017 ketika bersama Kedah apabila menewaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.
Setakat musim lalu, dia telah membuat 125 penampilan, menjaringkan 26 gol serta merekodkan 13 bantuan jaringan dalam semua pertandingan sepanjang bersama tiga kelab iaitu Kedah, JDT dan Brunei DPMM. – Malaysia
















