BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menunggu laporan siasatan terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebelum mengumumkan langkah penambahbaikan pengurusan dan tindakan susulan berhubung permasalahan yang dikenal pasti.
Menurut beliau, siasatan itu penting bagi mengenal pasti permasalahan yang berlaku supaya langkah penyelesaian dapat dirangka dengan lebih berkesan.
“Saya tunggu siasatan lengkap dan baru kita umum dalam masa terdekat.
“(Siasatan) adalah aspek pengurusan untuk memperbaiki pengurusan, kita perlu mengenal pasti permasalahan lalu.
“Tetapi yang penting adalah menguruskan diri dan langkah-langkah ke depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama pengurusan tertinggi dan pengurus Felda 2026, di sini hari ini.
Anwar berkata, pasukan khas yang menjalankan siasatan berkenaan kini sedang melaksanakan tugas dan laporan mengenainya akan diteliti terlebih dahulu.
Katanya, kerajaan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru sebelum memperoleh gambaran menyeluruh hasil siasatan.
“Kita tunggu laporan siasatan lalu kita umumkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, laporan berkenaan akan menjadi asas kepada kerajaan untuk menentukan tindakan serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.
Beliau berkata, fokus utama bukan sekadar mengenal pasti kesilapan atau permasalahan yang berlaku, sebaliknya memastikan pengurusan dapat diperkemas dan langkah ke hadapan dilaksanakan dengan lebih baik.
Terdahulu, Anwar berkata siasatan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dan Felda perlu dijalankan secara telus serta segera.
Beliau berkata, sebarang permasalahan yang berlaku perlu dikenal pasti secara menyeluruh dan tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa tindakan.
Menurutnya, pihak bertanggungjawab perlu turun ke lapangan dan memahami permasalahan sebenar, bukannya hanya bergantung kepada laporan di peringkat pengurusan. – MalaysiaGazette
















