MELAKA – Seorang pengasuh didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan bayi perempuan berusia setahun sembilan bulan dengan cara mencubit kemaluannya sehingga lebam, tahun lalu.
Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Masmariati Samsudin, 44, sebaik sahaja pertuduhan dan fakta kes dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bayi perempuan berusia setahun sembilan bulan ketika kejadian dengan cara mencubit kemaluan mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Desa Taming Sari 3, Sungai Udang, di sini, pada 13 Februari 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian terbongkar selepas ibu mangsa mengambil anaknya dari rumah pengasuh kira-kira jam 7 petang pada hari kejadian sebelum mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian kemaluan mangsa.
Bapa mangsa kemudian menghubungi tertuduh untuk mendapatkan penjelasan berhubung kecederaan itu.
Tertuduh pada awalnya memaklumkan tidak mengetahui mengenai kesan lebam berkenaan sebelum akhirnya mengaku mencubit bahagian kemaluan mangsa sehingga menyebabkan lebam.
Pemeriksaan doktor di hospital terhadap mangsa mendapati wujud kecederaan yang dikategorikan sebagai serangan fizikal terhadap kanak-kanak pada bahagian kemaluan dan abdomen bawah.
Sebelum ini, mangsa juga mempunyai kesan luka di mata, kesan lebam di badan dan tangan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum terhadap tertuduh.
Hujahnya, tertuduh sebagai pengasuh sepatutnya menjaga mangsa dengan baik, lebih-lebih lagi ibu bapa mangsa sudah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menjaga anak mereka.
“Perbuatan ini mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa dan mahkamah dimohon menjatuhkan hukuman maksimum,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum.
Beliau memberi alasan tertuduh hanya mengambil upah menjaga kanak-kanak dengan bayaran sebanyak RM350 sebulan dan ditanggung suaminya yang juga pesara tentera dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan selain anak yang sedang belajar di universiti.
Tertuduh juga hujahnya baru selesai menjalani pembedahan tulang belakang dan amat menyesal atas perbuatannya serta mengakui gagal mengawal emosi ketika kejadian.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap tertuduh yang bertongkat sepanjang prosiding atau empat bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette
















