BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkukuh komitmen menjaga kebajikan pelajar baharu menerusi pelbagai bantuan, kemudahan serta sokongan sepanjang tempoh pengajian.
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, pendekatan menyantuni mahasiswa menerusi konsep ‘Tiada Yang Tertinggal’ terus menjadi keutamaan universiti bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa diberi perhatian.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) dengan menyediakan akses kepada bantuan yang bersesuaian berdasarkan keperluan dan kelayakan pelajar.
Menurutnya, antara bantuan dan kemudahan yang disediakan ialah Bantuan Yuran Pendaftaran, Sara Diri, Bantuan Yuran Pengajian, Dapur Siswa, Menu Kasih Siswa, Dompet Siswa serta Tabung Kebajikan Pelajar/Zakat.
“Kita menyediakan pelbagai inisiatif kebajikan menerusi pendekatan ‘Tiada Yang Tertinggal’ bagi memastikan setiap pelajar mendapat perhatian, sokongan dan akses kepada bantuan yang sewajarnya agar mereka dapat mengikuti pengajian dengan lebih yakin dan selesa.
“Selain itu, pelajar turut mendapat akses kepada kemudahan kaunseling, permohonan biasiswa dan pinjaman pelajaran, Bilik Asnaf, Gerobok Makanan serta sumbangan pendidikan, mobiliti dan perubatan, tertakluk kepada syarat dan terma kelayakan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena kemasukan dan bantuan pelajar baharu UKM Sesi Akademik 2026/27 di Bilik Mesyuarat Pusat Islam UKM, di sini, hari ini.
Jelas beliau, dalam usaha memperkasa kebolehupayaan pelajar mengurus keperluan kewangan sepanjang berada di universiti, HEP-UKM turut menyediakan peluang pekerjaan melalui program kerja sambilan dalam kampus menerusi inisiatif Job on Campus (JOC).
“Inisiatif ini membuka ruang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman bekerja, membina kemahiran insaniah serta menjana pendapatan secara fleksibel tanpa menjejaskan komitmen akademik.
“Selain itu, bantuan barang kelengkapan masuk universiti turut disediakan kepada pelajar yang memenuhi kriteria ditetapkan,” ujarnya.

Tambah beliau, Program Jejak Kasih Tekad Siswa akan mula dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon bagi memastikan usaha menyantuni, membantu dan memperkasa mahasiswa dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, bersasar dan menyeluruh.
“Sebagai tanda cakna dan keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa, UKM turut menyalurkan bantuan kepada pelajar sedia ada yang terpilih menerusi Program Ziarah Kasih Siswa, yang dilaksanakan di beberapa negeri bagi menyantuni serta membantu pelajar yang memerlukan,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif kebajikan ini turut diperkasakan menerusi dana RM198,886.13 hasil Program Alumni Balik Kampus 2026, yang diperuntukkan untuk tajaan 27 bilik penginapan pelajar asnaf serta B40 (RM145,000) dan enam unit penapis air (RM30,000).
Ujarnya, UKM turut melaksana Projek Naik Taraf RP3 bernilai RM23 juta merangkumi 20 blok di sembilan kolej kediaman demi manfaat lebih 3,000 mahasiswa.
“Pelbagai inisiatif kebajikan ini mencerminkan pendekatan HEP-UKM yang menitikberatkan aspek kemenjadian mahasiswa secara holistik, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa yang berdaya tahan, prihatin, berdaya saing dan mampu mengurus cabaran kehidupan sepanjang berada di kampus.
“HEP-UKM menggalakkan mereka (pelajar) yang berdepan kesulitan untuk tampil mendapatkan bantuan, agar setiap pelajar dapat meneruskan pengajian dengan lebih yakin, selesa dan berdaya saing,” jelasnya.
Untuk rekod, Jejak kasih siswa Tekad Siswa adalah program menyantuni pelajar di kalangan B40 yang ditawarkan masuk ke universiti dengan menyediakan barangan keperluan asrama dan keperluan diri sebagai persediaan masuk ke universiti.
Program ini mula dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon bagi memastikan usaha menyantuni, membantu dan memperkasa mahasiswa dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, bersasar dan menyeluruh.
Lawatan akan melibatkan 5 zon yang telah ditetapkan iaitu Zon Utara (Perak/ Kedah); Zon Timur (Pahang/ Terengganu); Zon Tengah (Selangor/ Kuala Lumpur); Zon Selatan (Negeri Sembilan/ Melaka) dan Zon Komuniti (Bangi/Kajang) bermula pada 2 hingga 12 September ini melibatkan lebih 20 pelajar dengan menggunakan peruntukan tabung kebajikan pelajar UKM. – MalaysiaGazette
















