Ahmad Shahir Mohd Shah
Ahmad Shahir Mohd

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Pas dan UMNO ketika ini lebih menjurus kepada usaha mendapatkan kuasa dan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah).

Setiausaha Pemuda Amanah, Ahmad Shahir Mohd Shah berkata, kedua-dua parti itu dilihat mempunyai persefahaman dalam usaha berkenaan, namun persoalannya ialah bagaimana mereka mahu meletakkan kedudukan masing-masing sebagai parti yang masih mempertahankan prinsip asal.

“Mereka hanya boleh bekerjasama untuk dapatkan kuasa, lepas itu baru bincang macam mana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, agenda yang dibawa Pas dan UMNO ketika ini juga banyak berkisar mengenai penyatuan Melayu, namun beliau mempersoalkan kelompok Melayu mana yang mahu disatukan kedua-dua parti berkenaan.

“Cuma kita pun tak tahu segmen Melayu mana yang mereka nak satukan. Cuma mereka menjadikan itulah bahan modal dia lah, sebagai titik untuk mereka bersama,” katanya.

Ahmad Shahir berkata, perkembangan itu menunjukkan Pas dan UMNO lebih menumpukan usaha membina kekuatan politik serta mendapatkan kuasa berbanding memperlihatkan dengan jelas prinsip dan agenda asal yang selama ini diperjuangkan.

Dalam konteks itu, beliau berkata, kerjasama Pas dan UMNO perlu dilihat bukan semata-mata sebagai usaha penyatuan Melayu, sebaliknya strategi politik untuk membentuk kekuatan bersama bagi menghadapi Anwar dan kerajaan pimpinannya.

Perkembangan kerjasama kedua-dua parti itu turut berkait dengan rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya akan datang, khususnya di Melaka.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Barisan Nasional (BN) tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi yang dimenanginya kepada parti lain selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021.

Bagaimanapun, berdasarkan analisis Ilham Centre, sekiranya undi Parlimen dipecahkan mengikut DUN, Perikatan Nasional (PN) menang di 10 DUN manakala BN hanya memperoleh empat.

Ilham Centre berpandangan tuntutan PN terhadap lebih banyak kerusi boleh menimbulkan cabaran kepada BN yang mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi dimenanginya pada PRN Melaka 2021.

Jika BN mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi berkenaan, hanya tujuh kerusi berbaki untuk ditandingi PN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here