JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini tampil menjawab dakwaan seorang wanita yang tidak berpuas hati perkhidmatan kakitangan dan doktor semasa membawa ibunya yang berkerusi roda untuk pemeriksaan Hospital Pontian pada 16 Ogos lalu.
Penjelasan JKNJ itu selepas dakwaan wanita terbabit yang memaklumkan ibunya terpaksa menunggu kira-kira tiga jam untuk menerima rawatan sebelum membuat tinjauan sendiri di bilik rawatan dan melihat sendiri doktor sedang menggunakan telefon bimbit semasa bertugas sedangkan ramai pesakit ketika itu.
JKNJ dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan semakan mendapati, semasa Ibu wanita berkenaan menerima rawatan hanya terdapat tiga pegawai perubatan bertugas di Unit Kecemasan Hospital Pontian.
“Walau bagaimanapun, ketika kejadian pegawai perubatan yang bertugas sedang mengendalikan kes-kes klinikal di zon kritikal dan separa kritikal yang memerlukan perhatian segera.
“Namun demikian, rawatan kepada pesakit telah diteruskan mengikut tahap keutamaan klinikal dan pesakit telah diperiksa oleh Pegawai Perubatan pada jam 4 petang.
“Pesakit kemudiannya disahkan stabil setelah penilaian serta rawatan yang bersesuaian diberikan dan dibenarkan pulang bersama nasihat perubatan sekitar jam 4.30 petang,” ujar kenyataan tersebut.
Berikutan dakwaan pegawai perubatan dilihat bergelak sambil menggunakan telefon bimbit, JKNJ menjelaskan, siasatan mendapati pegawai tersebut sedang berkomunikasi dengan pakar melalui telefon bimbit bagi urusan rawatan dan pengurusan klinikal pesakit lain.
JKNJ mengambil maklum berhubung aduan yang tular dalam media sosial tersebut dan pihak pengurusan hospital itu telah menjalankan semakan dan siasatan dalaman bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung kejadian tersebut.
Jelas JKNJ, ini juga bagi memastikan fakta berkaitan proses penilaian dan rawatan pesakit dapat diperjelaskan.
“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, pengadu dan pesakit hadir ke Unit Kecemasan hospital itu pada jam 12.30 tengah hari dengan aduan utama bengkak pada kaki kanan.
“Seterusnya, pesakit telah menjalani proses primary triage dan beliau telah dikategorikan ke zon hijau mengikut tahap keutamaan klinikal dan pesakit telah melalui secondary triage oleh petugas kesihatan pada jam 1.24 petang.”
Menurut JKNJ, pada penilaian awal, pesakit didapati dalam keadaan stabil sebelum menjalani pemeriksaan radiologi dada dan kaki kanan pukul 1.30 petang.
Dalam pada itu, JKNJ memberitahu pihak hospital akan terus memperkukuh aspek komunikasi dengan pesakit dan waris serta menambah baik aliran kerja Unit Kecemasan.
“Ini bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, cekap dan berkualiti dapat diberikan secara berterusan,” tambah JKNJ.- MalaysiaGazette
















