Ketua Pemuda PPP, Sathiah Sudakaran

KUALA LUMPUR – Belia PPP Malaysia menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan Pasukan Petugas Khas Anti-Buli di setiap sekolah bagi memastikan setiap dakwaan buli dapat ditangani dengan segera sebelum membawa kepada kejadian lebih buruk.

Ketua Belia PPP Malaysia, Sathiah Sudakaran berkata, isu buli tidak boleh hanya diberikan perhatian selepas berlakunya tragedi, sebaliknya memerlukan mekanisme pencegahan dan tindakan awal yang lebih menyeluruh.

Gesaan itu dibuat susulan kematian seorang pelajar berusia 14 tahun, Keziah Nisha yang mengundang kebimbangan umum baru-baru ini.

“Saya mewakili seluruh kepimpinan Belia PPP Malaysia merakamkan salam takziah kepada keluarga mendiang. Kami berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan yang amat menyedihkan ini.

“Pada masa sama, kami berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan telus serta mengumumkan hasilnya selepas proses siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu memberi ruang kepada PDRM menjalankan siasatan dan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

“Namun apa juga keadaan yang mendorong mangsa sehingga mengambil keputusan begitu berat tidak boleh dipandang ringan. Jika terdapat unsur buli, ugutan atau tekanan, perkara itu mesti disiasat dan tindakan sewajarnya perlu diambil,” ujarnya.

Menurut Sathiah, Belia PPP sebelum ini telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung isu buli dalam kalangan warga sekolah termasuk pelajar serta dakwaan membabitkan guru.

“Ini menunjukkan isu buli memerlukan tindakan lebih menyeluruh dan bukan hanya selepas sesuatu tragedi berlaku. Justeru, kami menggesa KPM menubuhkan Pasukan Petugas Khas Anti-Buli di setiap sekolah dengan segera,” katanya.

Jelasnya, pasukan berkenaan boleh membabitkan wakil PDRM, Jabatan Pendidikan, guru, pelajar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), selain berfungsi sebagai saluran aduan yang mudah dan selamat kepada pelajar.

“Pasukan ini perlu memastikan setiap aduan dapat dikenal pasti pada peringkat awal, tindakan segera diambil dan kes buli tidak dibiarkan berlarutan.

“Pihak sekolah juga perlu memberikan penerangan serta bimbingan berterusan kepada pelajar mengenai bahaya buli dan memastikan mereka tahu bagaimana serta kepada siapa untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Sathiah berkata, pendekatan ‘Sifar Toleransi Terhadap Buli’ perlu dilaksanakan di semua sekolah kerana institusi pendidikan sepatutnya menjadi tempat selamat untuk pelajar belajar, membina keyakinan dan masa depan.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga satu lagi nyawa menjadi korban sebelum bertindak. Hentikan buli dan lindungi anak-anak kita,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here