Haryaty (tiga dari kiri) bersama barisan peguam di Mahkamah Tinggi Melaka, Rabu lalu.

MELAKA – Pertikaian antara Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin dan Datuk Haryaty Hamdzah berhubung kenyataan yang dibuat menerusi Facebook dan WhatsApp Alumni berakhir secara damai selepas writ saman terhadap defendan itu ditarik balik.

Perkara itu dimaklumkan Tetuan Rosfinah & Co. selaku peguam bagi Haryaty yang merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah UTeM berhubung keputusan permohonan injunksi interim dan penyelesaian kes di Mahkamah Tinggi Melaka di sini.

“Hasil perbincangan tersebut, kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian secara damai berhubung tuntutan utama dalam tindakan ini.

“Selaras dengan persetujuan yang dicapai, pihak plaintif telah menarik balik writ saman terhadap anak guam kami,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, Massila sebelum ini memfailkan writ saman terhadap Haryaty yang juga Ketua Wanita UMNO Kota Melaka berhubung kenyataan yang dibuat oleh beliau menerusi Facebook dan WhatsApp Alumni.

Dalam tindakan berkenaan, Massila turut memohon suatu injunksi interim, antara lainnya bagi menghalang Haryaty daripada mengeluarkan kenyataan tertentu terhadap beliau serta memohon supaya kenyataan yang telah dibuat diturunkan atau dipadamkan.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi Melaka pada Rabu lalu, mahkamah menolak permohonan injunksi interim yang difailkan pihak plaintif.

“Selepas mempertimbangkan afidavit serta hujahan kedua-dua pihak, mahkamah antara lainnya mengambil kira prinsip undang-undang yang terpakai terhadap permohonan injunksi interim yang mempunyai kesan menyekat penerbitan atau kebebasan bersuara, yang tertakluk kepada suatu ambang undang-undang khusus dan ketat.

“Pertimbangan tersebut turut mengambil kira konteks kenyataan yang dipertikaikan, termasuk isu berkaitan tadbir urus, akauntabiliti institusi dan kepentingan awam,” katanya.

Susulan keputusan itu, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan secara konstruktif bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap pertikaian berkenaan.

Dengan penarikan balik writ saman itu, pertikaian antara kedua-dua pihak dalam tindakan berkenaan telah diselesaikan secara baik tanpa perlu diteruskan kepada perbicaraan penuh.

Sementara itu, Haryaty ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, beliau menghormati sepenuhnya segala pemerhatian, teguran serta panduan yang diberikan oleh Yang Arif Hakim sebagaimana yang terkandung dalam Alasan Penghakiman.

“Saya turut menghargai penyelesaian yang dicapai dan komited untuk bergerak ke hadapan secara positif dan konstruktif demi kepentingan bersama, termasuk kepentingan UTeM serta warga akademik secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau pada masa sama akan terus menghormati prinsip kedaulatan undang-undang, kebebasan bersuara yang bertanggungjawab dan kepentingan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here