KAJANG – Seorang wanita maut selepas terkena sebatang tiang besi yang tumbang dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di hadapan sebuah medan selera di Bandar Mahkota Cheras, kira-kira jam 1.15 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta, seorang lelaki berusia 35 tahun, dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaan itu memasuki ruang makan medan selera dan kemudian berpusing semula untuk keluar.
“Pada masa sama, mangsa, seorang wanita berusia 47 tahun, dipercayai berlari ke arah kenderaan berkenaan bagi menghalang atau menghentikannya.
“Bagaimanapun, kenderaan itu terlanggar sebatang tiang besi menyebabkan tiang berkenaan tumbang dan terkena kepala mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala oleh petugas kesihatan.
Sementara itu, pemandu terbabit turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan serta pengambilan sampel.
Polis berkata, hasil semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan masih menjalani rawatan di hospital.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-456 5502.
Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak. – MalaysiaGazette
















