KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya terikat dengan mana-mana formula kerjasama politik yang pernah digunakan di negeri lain dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya perlu memilih strategi berdasarkan realiti politik dan peta kekuatan setiap kawasan.
Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, penegasan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa formula kerjasama di Johor dan Negeri Sembilan tidak boleh disalin bulat-bulat ke Melaka membawa mesej jelas Barisan Nasional (BN) mahu menentukan pendekatan berdasarkan dinamik politik negeri itu sendiri.
Menurut beliau, setiap negeri mempunyai geopolitik, komposisi pengundi dan kekuatan parti yang berbeza, justeru sebarang kerjasama politik perlu dinilai berdasarkan prinsip kemanfaatan yang lebih besar berbanding mudarat.
“Pada saya, inilah kata kunci kepada PRN Melaka. BN tidak mencari pasangan, BN mencari kemenangan.
“Persoalannya bukan semata-mata sama ada BN akan memilih PH atau PN, tetapi formula mana yang mampu memberikan kemenangan paling banyak kepada BN dan dalam masa sama memastikan kestabilan kerajaan negeri,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Shahbudin berkata, keuntungan politik BN tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah kerusi yang mungkin dimenangi gagasan itu secara keseluruhan, sebaliknya perlu mengambil kira kekuatan calon, penerimaan pengundi Melayu dan bukan Melayu, sokongan golongan muda serta pengundi atas pagar.
Katanya, risiko pertandingan tiga penjuru juga perlu diberi perhatian kerana perpecahan undi boleh mengubah keputusan di sesuatu kawasan.
“Matematik kerusi mesti mengatasi sentimen parti. Politik tidak semestinya hitam dan putih.
“Formula yang kelihatan baik di atas kertas belum tentu menghasilkan kemenangan apabila berdepan realiti pengundi di lapangan,” katanya.
Mengulas kemungkinan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Shahbudin berkata, antara kelebihannya ialah pertandingan sesama parti dalam kerajaan dapat dielakkan di kawasan tertentu.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa BN juga perlu mengira risiko kehilangan sebahagian sokongan pengundi Melayu yang tidak selesa dengan PH.
“Sebahagian pengundi Melayu yang tidak selesa dengan PH mungkin memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai alternatif.
“Jika berlaku, kerjasama BN-PH boleh memberi manfaat di satu kawasan tetapi membawa mudarat di kawasan lain,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, kerjasama BN dengan PN juga bukan tanpa risiko kerana walaupun berpotensi mengukuhkan sokongan sebahagian pengundi Melayu, ia boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi sederhana dan bukan Melayu yang selama ini menjadi sebahagian daripada kekuatan BN.
“Jadi, tidak ada formula yang sempurna. Setiap formula mempunyai kos politiknya sendiri,” katanya.
Shahbudin melihat terdapat kemungkinan BN menggunakan pendekatan yang lebih pragmatik dengan menentukan bentuk kerjasama berdasarkan kerusi, bukannya memaksakan satu formula untuk seluruh Melaka.
Katanya, terdapat kawasan yang BN mempunyai kekuatan mencukupi untuk bergerak sendiri, manakala kawasan tertentu mungkin memerlukan kerjasama dengan PH atau pendekatan berbeza berdasarkan komposisi pengundi serta kekuatan calon.
“Bukan siapa mendapat paling banyak kerusi di atas kertas, tetapi siapa mampu menyumbang paling banyak kerusi kepada kemenangan kerajaan.
“Inilah yang saya namakan sebagai Formula Melaka,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu juga membolehkan BN menyesuaikan strategi dengan realiti setiap kawasan tanpa terlalu terikat kepada keputusan politik yang dibuat di peringkat nasional.
Dalam pada itu, Shahbudin menyifatkan mandat yang diberikan Ahmad Zahid kepada Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN dan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mengadakan rundingan sebelum dibawa ke peringkat nasional sebagai perkembangan penting.
Menurutnya, kepimpinan BN Melaka lebih memahami keadaan sebenar di setiap kawasan kerana mereka berdepan secara langsung dengan pengundi, calon dan isu setempat.
“Ab Rauf dan kepimpinan BN Melaka lebih dekat dengan denyut nadi setiap kawasan, mengenali kekuatan dan kelemahan calon serta memahami sentimen sebenar pengundi di lapangan.
“Rundingan tidak boleh hanya berdasarkan persepsi politik di media sosial atau andaian di peringkat pusat. Data lapangan, kekuatan calon dan peta kerusi mesti menjadi asas keputusan,” katanya.
Shahbudin turut mengingatkan BN supaya tidak memandang ringan kekuatan PN dalam menentukan keputusan PRN Melaka.
Katanya, jika BN dan PH bertembung sesama sendiri, perpecahan undi boleh membuka ruang kepada PN untuk meraih kemenangan di kawasan tertentu.
“Namun hubungan BN-PH yang terlalu rapat tanpa mengambil kira sentimen pengundi Melayu juga boleh memberi PN ruang untuk mengukuhkan pengaruh.
“Inilah dilema sebenar yang perlu dihadapi BN. Silap membaca satu kelompok pengundi boleh mengubah keputusan satu-satu kerusi,” katanya.
Selain formula kerjasama parti, Shahbudin berpandangan faktor calon akan menjadi antara penentu terbesar keputusan PRN Melaka.
Katanya, kekuatan logo parti sahaja tidak lagi mencukupi kerana calon yang mempunyai penerimaan rakyat, rekod perkhidmatan baik dan kemampuan bekerja merentasi kelompok masyarakat boleh menjadi pembeza dalam pertandingan sengit.
“Logo parti memang penting, tetapi calon yang mempunyai penerimaan rakyat, rekod perkhidmatan yang baik dan mampu bekerja merentasi kelompok masyarakat boleh menjadi penentu kemenangan.
“Sebaliknya, calon yang lemah boleh menyebabkan formula politik yang baik sekalipun gagal.
“Justeru, BN perlu meletakkan kekuatan calon sebagai sebahagian daripada formula utama menjelang PRN Melaka,” katanya.
Shahbudin berkata, pendirian Zahid menunjukkan BN kini berada dalam fasa yang lebih berhati-hati dan strategik, dengan tidak mahu mengulangi formula politik negeri lain secara automatik.
“PRN Melaka bukan pertandingan untuk menentukan siapa paling setia kepada PH atau PN. Ia pertandingan untuk menentukan siapa paling bijak mengurus realiti politik, mengelakkan pecah undi dan menghasilkan kemenangan.
“Persoalan sebenar bukan lagi ‘BN akan memilih PH atau PN?’, tetapi ‘formula mana yang memberikan BN paling banyak kemenangan dengan paling sedikit mudarat?” katanya.
Beliau berkata, jawapan kepada persoalan itu hanya boleh diperoleh selepas BN meneliti secara mendalam peta kerusi, kekuatan calon serta sentimen pengundi Melaka.
“Satu perkara yang pasti, Zahid tidak sedang mencari pasangan politik semata-mata. Zahid sedang mencari formula kemenangan BN di Melaka.
“Akhirnya, Formula Melaka mestilah formula yang menang, bukan sekadar formula yang nampak cantik di atas kertas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















