Seorang petugas jentera, Liuo Chen Huat, 50, melakukan kerja-kerja untuk pemasangan bendera parti Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bilik Gerakan Barisan Nasional Pulau Gadong, Melaka. Foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu meneliti secara menyeluruh cadangan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, khususnya dari segi pihak yang bakal menerima manfaat politik terbesar daripada formula berkenaan.

Penganalisis politik, Azizi Safar berkata, naratif bahawa BN dan PH perlu bekerjasama bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri tidak semestinya menjamin pertambahan undi di peti pilihan raya.

Menurutnya, undi BN dan PH tidak boleh dianggap akan bergabung secara automatik sekiranya kedua-dua parti mencapai persefahaman dalam pembahagian kerusi.

“Undi BN + undi PH tidak boleh dijumlahkan begitu sahaja seperti 2 + 2 = 4.

“Ada penyokong BN yang mungkin tidak selesa mengundi calon PH. Ada juga penyokong PH yang selama ini membina identiti politik atas penolakan terhadap BN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, persoalan lebih penting ialah sama ada kerjasama berkenaan benar-benar mampu menambah jumlah undi atau sekadar mengelakkan pertandingan sesama sendiri.

Azizi berkata, kerjasama BN-PH juga berpotensi membuka ruang kepada pihak ketiga sekiranya sebahagian penyokong tradisional kedua-dua blok berasa identiti politik mereka terhakis.

“Kalau penyokong tradisional mula rasa identiti politik mereka tergadai, mereka tidak semestinya ikut arahan parti. Mereka boleh duduk rumah, protes atau beralih kepada pihak lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, BN Melaka kini menguasai 20 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas PRN 2021, manakala PH mempunyai lima kerusi.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebarang cadangan kerjasama perlu dinilai berdasarkan kekuatan sebenar setiap parti dan bukan hanya berlandaskan slogan kestabilan atau kesatuan.

“Dalam konteks itu, kerjasama tidak boleh hanya dinilai atas slogan ‘kestabilan’ atau ‘kesatuan’. Ia mesti dinilai berdasarkan siapa memberi undi dan siapa menerima manfaat politik paling besar,” katanya.

Azizi berkata, BN juga perlu mengambil kira kekuatan jentera, penerimaan akar umbi, profil pengundi bagi setiap kerusi serta kesan kerjasama terhadap penyokong tradisional sebelum membuat sebarang keputusan.

Dalam pada itu, beliau berkata, keterbukaan BN Melaka untuk berbincang dengan mana-mana pihak menerusi formula “BN Plus” tidak semestinya bermakna rundingan tersebut akan berakhir dengan persetujuan.

Menurutnya, PH Melaka juga masih belum memuktamadkan bentuk kerjasama di luar gabungannya.

“Kalau kerjasama BN-PH benar-benar strategi menang-menang, bagus. Rundinglah berdasarkan kekuatan dan kepentingan sebenar.

“Tetapi kalau BN sudah memiliki kelebihan tersendiri di Melaka, kemudian diminta berkongsi kelebihan itu atas alasan ‘demi kestabilan’, sedangkan pihak lain sebenarnya lebih memerlukan talian hayat politik, maka BN wajar bertanya: ada udang di sebalik batu?” katanya.

Azizi menegaskan, BN tidak seharusnya membuat keputusan berdasarkan tekanan naratif atau pandangan penganalisis semata-mata, sebaliknya perlu menentukan terlebih dahulu pihak yang paling banyak mendapat keuntungan daripada sesuatu formula kerjasama.

“Strategi terbaik bukanlah menyertai permainan yang disusun orang lain. Strategi terbaik ialah memahami terlebih dahulu siapa yang sedang memegang batu, siapa yang menyimpan udang dan siapa yang akhirnya akan masuk perangkap,” katanya.

Beliau berkata, PRN Melaka bukan sekadar berkaitan siapa boleh bekerjasama, sebaliknya turut membabitkan persoalan pengagihan kerusi, identiti parti dan pergerakan sokongan pengundi.

“BN jangan hanya bertanya, ‘Dengan siapa kita boleh bekerjasama?’

“BN mesti bertanya, ‘Kalau kita bekerjasama, siapa yang sebenarnya paling banyak mendapat keuntungan?’” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here