Dr. Zambry Abd Kadir

KEPALA BATAS –  Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bukan hanya memberi tumpuan kepada isu mahasiswa, sebaliknya kerajaan turut mengkaji keseluruhan kerangka perundangan pendidikan tinggi sebelum memperkenalkan akta baharu sebagai penggantinya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kajian itu perlu dilakukan kerana AUKU merupakan undang-undang utama yang bukan sahaja mengawal perkara berkaitan mahasiswa, malah meliputi penubuhan dan operasi universiti, tadbir urus, hal ehwal akademik serta pentadbiran.

“AUKU ketika ini mempunyai 44 seksyen yang merangkumi aspek seperti penubuhan universiti, tadbir urus, hal akademik, ahli akademik, pentadbir dan bidang lain, dengan hanya tujuh seksyen berkaitan mahasiswa.

“Dalam konteks mahasiswa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan bahawa kita perlu meneliti aspek yang telah menjadi kekangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Zambry berkata, kajian itu akan mengambil kira kebebasan dan hak golongan akademik, cabaran yang dihadapi mereka, selain keperluan pentadbir, mahasiswa, institusi serta undang-undang lain berkaitan sistem pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata, akta baharu itu perlu menjadi kerangka perundangan utama yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi, selain menangani keperluan semasa dan masa depan.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa bebas yang diumumkan sebelum ini akan membolehkan pelbagai pandangan dipertimbangkan sepanjang proses kajian, selaras dengan komitmen kerajaan untuk mendengar pandangan semua pihak sebelum memuktamadkan kerangka perundangan baharu.

Ahad lalu, Zambry berkata kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh bagi menggantikan AUKU telah digariskan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, sebagai sebahagian daripada agenda mewujudkan One Higher Education Act yang dilancarkan pada Januari.

Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih besar kepada mahasiswa, selepas mengambil kira memorandum serta pandangan yang dikemukakan pemimpin mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.  – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here