Oleh: Ts. Dr. Syed Agil Shekh Alsagoff
MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), medan persaingan politik Malaysia semakin jelas berubah daripada gelanggang ceramah, poster dan risalah kepada medan digital yang bergerak pantas, bersifat visual dan sangat dipengaruhi algoritma.
Dalam landskap ini, parti politik yang masih menganggap media sosial sekadar ruang untuk menyiarkan poster pemimpin atau slogan kempen sebenarnya sedang ketinggalan zaman.
Cabaran terbesar PRU-16 bukan lagi bagaimana parti politik mendapatkan perhatian pengundi muda, tetapi bagaimana perhatian itu diterjemahkan kepada maklumat politik yang lengkap, sahih, seimbang dan boleh dipercayai.
Undi18 telah mengubah struktur demografi pengundi Malaysia secara signifikan. Kajian mengenai Undi18 menganggarkan lebih 6.2 juta pengundi baharu telah mendapat hak mengundi, majoritinya berusia bawah 30 tahun. Ini menjadikan generasi muda bukan lagi kelompok pinggiran dalam strategi pilihan raya, sebaliknya salah satu kumpulan penentu yang perlu diberi perhatian serius.
Namun, ada satu persoalan besar: Adakah strategi komunikasi politik kita benar-benar bersedia untuk berdepan generasi pengundi digital? Jawapannya masih belum meyakinkan.

Daripada propaganda kepada komunikasi berasaskan bukti
Kesilapan paling besar kempen politik digital ialah menganggap pengundi muda mudah dipengaruhi hanya kerana mereka aktif di TikTok, Instagram, YouTube atau platform digital lain. Sebenarnya, pengundi muda hari ini semakin kritikal.
Kajian semasa mengenai pengundi muda di Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan generasi ini semakin banyak membandingkan maklumat, mengikuti kenyataan calon dan manifesto secara terus melalui platform digital, selain menilai personaliti, kredibiliti, rekod perkhidmatan dan keupayaan calon menangani isu tempatan.
Ini bermakna strategi “viral dahulu, fakta kemudian” tidak lagi memadai. Parti politik perlu beralih kepada pendekatan evidence-based political communication iaitu setiap dakwaan perlu disertakan data, sumber, konteks dan bukti yang boleh disemak.
Jika sebuah parti mendakwa ekonomi bertambah baik, tunjukkan datanya. Jika mendakwa kos sara hidup menurun, jelaskan indikator yang digunakan. Jika menjanjikan 100,000 pekerjaan, terangkan sektor, tempoh pelaksanaan dan sumber pembiayaannya.
Pengundi muda tidak sepatutnya dipaksa mempercayai slogan. Mereka perlu diberikan ruang untuk menilai, membanding dan membuat keputusan sendiri.
TikTok bukan manifesto
Satu lagi kecenderungan yang perlu dikritik ialah usaha memampatkan semua mesej politik menjadi video 30 saat. Video pendek memang berkesan untuk menarik perhatian. Tetapi ia tidak semestinya berkesan untuk membina kefahaman.
Pemerhatian terhadap pengundi muda Sarawak mendapati media sosial menjadi sumber utama berita politik bagi majoriti besar responden yang dikaji khususnya melalui TikTok, Facebook dan Instagram. Kandungan berbentuk kemas kini berita lebih menarik berbanding mesej promosi politik yang terlalu jelas.
Ini memberi petunjuk penting kepada parti politik bahawa pengundi muda mahukan kandungan politik yang informatif, bukan semata-mata kandungan yang cuba menjual parti.
Oleh itu, video pendek seharusnya menjadi pintu masuk kepada maklumat yang lebih lengkap.
Satu video TikTok boleh menerangkan satu isu. Tetapi selepas itu, pengundi mesti boleh mendapatkan pautan kepada manifesto penuh, dokumen dasar, statistik, kos pelaksanaan, rekod prestasi dan penjelasan calon. Pendek kata, TikTok boleh menjadi pintu tetapi bukan seluruh rumah.

Bahaya politik algoritma dan AI
PRU-16 juga berpotensi menjadi pilihan raya yang jauh lebih kompleks kerana kemunculan kandungan dijana kecerdasan buatan (AI), deepfake, klip video yang dimanipulasi dan kandungan politik yang direka untuk mencetuskan emosi.
Masalahnya, algoritma tidak semestinya memberikan kita maklumat yang paling benar. Algoritma cenderung memberikan kandungan yang menarik perhatian, mencetuskan reaksi dan meningkatkan penglibatan pengguna.
Di sinilah bahayanya. Sebuah video yang mempunyai sejuta tontonan tidak semestinya lebih benar daripada video yang hanya ditonton 1,000 orang.
Malah, seruan supaya pengundi muda meningkatkan literasi politik dan tidak menentukan kebenaran berdasarkan jumlah likes, shares atau populariti kandungan media sosial sudah disuarakan secara terbuka.
Dalam konteks ini, parti politik perlu menetapkan satu etika kempen digital baharu: jangan memanipulasi emosi, jangan memotong kenyataan di luar konteks, jangan menggunakan akaun palsu untuk mencipta persepsi dan jangan menggunakan AI untuk menghasilkan kandungan yang boleh mengelirukan pengundi.
Lima strategi kempen digital PRU16
Pertama, bangunkan pusat maklumat digital rasmi yang mengandungi manifesto, dasar, fakta, statistik, rekod pencapaian dan penjelasan isu dalam bahasa mudah.
Kedua, wujudkan fact-checking unit parti yang bertindak pantas menjawab dakwaan palsu, tetapi berdasarkan bukti dan sumber yang boleh disemak.
Ketiga, gunakan kandungan mikro tetapi berlapis. Video 30 saat menarik perhatian, infografik menjelaskan isu, podcast memberi konteks dan laman web menyediakan dokumen lengkap.
Keempat, jadikan calon sebagai sumber maklumat, bukan sekadar selebriti politik. Calon perlu mampu menjawab soalan sukar mengenai ekonomi, pendidikan, pekerjaan, perumahan, teknologi dan isu setempat.
Kelima, bina komunikasi dua hala. Pengundi muda tidak mahu hanya mendengar. Mereka mahu bertanya, mencabar dan mendapatkan jawapan.
Literasi media ialah benteng demokrasi
Cabaran PRU-16 akhirnya bukan hanya terletak pada parti politik. Ia juga melibatkan pengundi.
Pemerhatian terhadap sejumlah pengundi muda Malaysia berumur 18 hingga 26 tahun menunjukkan kemahiran literasi media tertentu mempunyai hubungan dengan kesediaan penyertaan politik.
Ini bermakna pendidikan pengundi tidak boleh berhenti pada persoalan “di mana saya perlu mengundi?” atau “bagaimana cara mengundi?”
Pengundi muda juga perlu diajar bagaimana menilai maklumat politik. Siapa sumbernya? Apakah buktinya? Bilakah maklumat itu diterbitkan? Apakah konteksnya? Adakah ia fakta atau pendapat? Adakah video itu asli? Adakah statistik telah dimanipulasi?
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri menyediakan pendidikan pengundi dan komunikasi strategik melalui kandungan media sosial serta bahan penerangan pilihan raya.

PRU-16 mesti menjadi pilihan raya berasaskan maklumat
Pada akhirnya, kemenangan dalam PRU16 tidak seharusnya ditentukan oleh siapa paling kuat menjerit di media sosial, siapa paling banyak menghasilkan video viral atau siapa paling banyak membeli iklan digital.
Parti politik perlu memahami bahawa pengundi muda bukan sekadar sasaran algoritma. Mereka ialah warganegara yang mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat lengkap sebelum membuat keputusan politik.
Strategi kempen politik masa depan perlu bergerak daripada attention economy kepada trust economy iaitu daripada mengejar tontonan kepada membina kepercayaan.
PRU-16 seharusnya menjadi titik perubahan, daripada politik yang menjual imej kepada politik yang menjelaskan dasar; daripada propaganda kepada bukti; daripada kandungan viral kepada maklumat yang boleh disahkan.
Kerana akhirnya, pengundi tidak sepatutnya memilih hanya berdasarkan apa yang paling kerap muncul di skrin telefon mereka.
Mereka harus memilih berdasarkan apa yang paling benar, paling relevan dan paling mampu dipertanggungjawabkan. Itulah cabaran sebenar kempen politik digital menjelang PRU-16. – MalaysiaGazette
Penulis adalah Penganalisis Komunikasi Politik, Universiti Putra Malaysia.
















