KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dan Mobile eCOSS menyaksikan aduan berkaitan kegiatan menyembunyikan stok minyak masak paket bersubsidi menurun 66.15 peratus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, data perbandingan antara Januari hingga April tahun lalu dengan tempoh sama tahun ini menunjukkan keseluruhan aduan berada pada trend penurunan yang positif.
Aduan berhubung masalah tiada atau kurang bekalan turut berkurangan sebanyak 24.47 peratus.
Menurut Fuziah, aduan mengenai penjualan bersyarat pula menurun 6.19 peratus manakala keengganan peruncit menjual barangan turut menyusut 1.15 peratus.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas tertarik dengan perkongsian seorang pengguna mengenai bekalan minyak masak paket bersubsidi yang menyatakan bekalan itu tidak lagi sukar diperolehi.
“Kalau dahulu memang susah hendak mendapatkan minyak masak, sekarang pergi ke mana-mana pun, insya-Allah stok lebih mudah ditemui. Inilah reformasi yang kami mahu rakyat rasai.
“Bagi saya, ukuran kejayaan sesuatu dasar bukan sekadar pada sistem atau angka tetapi apabila rakyat sendiri mula merasakan bekalan lebih mudah diperoleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fuziah berkata, pelaksanaan sistem berkenaan membolehkan KPDN memantau pengedaran minyak masak paket bersubsidi secara menyeluruh daripada rantaian bekalan hingga ke tangan pengguna.
Beliau berkata, aplikasi Mobile eCOSS turut menggunakan teknologi eKYC dan MyDigital ID bagi mengesahkan identiti pengguna, memandangkan pembelian minyak masak paket bersubsidi kini dihadkan kepada warganegara Malaysia bermula 1 Mac lalu.
Sehingga 3 Julai, lebih 5.2 juta rakyat Malaysia dilaporkan berdaftar menggunakan aplikasi Mobile eCOSS.
Fuziah menerusi hantaran sama turut berkongsi maklum balas berkenaan aplikasi eCOSS diterima daripada warganet menerusi akaun Norza Syajheha Zamri, yang menyifatkan aplikasi itu memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan minyak masak paket bersubsidi berbanding sebelum ini. – MalaysiaGazette
















