KUALA LUMPUR – Majlis Ekonomi Halal & Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH) dan Saha Farms Company Limited, Thailand telah bersetuju untuk menjalin kerjasama strategik dalam membangunkan perdagangan halal rentas ASEAN dengan Qurban Rahmah 2027 menjadi antara projek permulaan kerjasama tersebut.
Kerjasama itu membuka ruang kepada Saha Farms untuk menjadi antara rakan strategik dalam membekalkan lembu dan kambing bagi pasaran Qurban Rahmah 2027 di Malaysia sekali gus menghubungkan rangkaian pengeluaran makanan halal Thailand dengan pasaran halal dan keusahawanan ummah di Malaysia.
Setiausaha MEH, Dr Helmi Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai dalam satu sesi perbincangan antara wakil Saha Farms dan wakil MEH di Kuala Lumpur.
Kunjungan tersebut turut berkait dengan kehadiran wakil Saha Farms ke National Halal Policy Leadership Award 2026 yang akan diterima oleh MEH sempena World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX) 2026 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
WITEX 2026 merupakan platform antarabangsa yang menghimpunkan pemain industri pelancongan Islam, perdagangan halal dan ekonomi Islam dari pelbagai negara.
Saha Farms mempunyai sejarah lebih lima dekad dalam industri makanan dan eksport Thailand.
Syarikat tersebut diasaskan pada 1969 oleh Dr. Panya Chotitawan dan berkembang daripada operasi kecil kepada antara pengeksport produk ayam sejuk beku terbesar Thailand.
Saha Farms turut menerima Prime Minister’s Export Award 2024 — Best Halal, anugerah eksport berprestij kerajaan Thailand yang mengiktiraf kecemerlangan syarikat dalam kategori halal.
MEH berpandangan Qurban Rahmah 2027 bukan sekadar sebagai program ibadah qurban tetapi sebagai satu model ekonomi halal ummah yang mampu menghubungkan pengeluar, penternak, pembekal, pengusaha halal, pengedar dan pengguna dalam satu rantaian nilai yang tersusun.
Kerjasama dengan Saha Farms akan membuka peluang kepada MEH untuk memperluaskan jaringan sumber ternakan dan perdagangan halal ASEAN, khususnya bagi memastikan pasaran Malaysia mempunyai akses kepada bekalan ternakan yang berkualiti, kompetitif dan memenuhi keperluan halal, katanya dalam kenyataan.
“MEH melihat kerjasama dengan Saha Farms sebagai satu anjakan paradigma dalam pendekatan ekonomi halal Malaysia.
Daripada sekadar menjadi pengguna produk halal, Malaysia perlu bergerak ke arah menjadi pemain, penghubung dan pemangkin perdagangan halal ASEAN.
“Kerjasama ini juga memperlihatkan bagaimana MEH boleh berperanan sebagai rakan pemangkin strategik yang menghubungkan kekuatan pengeluaran antarabangsa dengan pasaran, usahawan dan kepentingan ekonomi ummah di Malaysia.
Dengan Qurban Rahmah 2027 sebagai antara projek permulaan, MEH berhasrat membina jaringan kerjasama yang lebih luas merangkumi perdagangan makanan halal, rantaian bekalan halal, keusahawanan ummah dan pasaran halal rentas ASEAN.
MEH percaya bahawa kerjasama strategik bersama Saha Farms ini merupakan langkah awal ke arah meletakkan MEH sebagai salah satu pemain utama dalam pembangunan industri halal dan ekonomi ummah di Malaysia — daripada ummah, untuk ummah, dengan jaringan perdagangan halal ASEAN. – MalaysiaGazette
















