Penasihat Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohamad Sazali Sha'ari pada program Podcast MG di Studio MG, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Walaupun angka rasmi menunjukkan seramai 50,413 individu telah berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran di Malaysia namun komuniti ini hakikatnya masih terperangkap dalam belenggu diskriminasi, jurang komunikasi serta kekangan aksesibiliti yang ketara.

Pengarah Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohamad Sazali Sha’ari mendedahkan, isu diskriminasi dalam pasaran pekerjaan dan salah faham masyarakat terhadap keupayaan warga pekak terus berlarutan ekoran kurangnya sokongan sistemik daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, cabaran sebenar yang dihadapi golongan ini bermula daripada peringkat asas komunikasi seharian sehinggalah kepada urusan rasmi di fasiliti awam.

“Ramai yang menganggap istilah ‘pekak’ sebagai satu perkataan yang kasar. Namun hakikatnya, mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ia merupakan definisi paling tepat bagi menjelaskan tahap ketidakupayaan mendengar malah komuniti itu sendiri lebih selesa dengan identiti berkenaan berbanding istilah lain yang kerap disalah erti.

“Selain istilah, wujud jurang besar dari sudut perbezaan struktur bahasa isyarat yang digunakan,” katanya menerusi program podcast MG bersama dua jurubahasa isyarat iaitu Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI) Wan Zuraidah Abu dan timbalannya Goh Soo Leng.

Beliau berkata, terdapat cabaran mendalam antara pemahaman Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang berteraskan keutamaan visual dan semula jadi digunakan oleh komuniti pekak, berbanding Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM).

“KTBM dicipta khusus bagi tujuan akademik di sekolah. Jurang ini kerap menimbulkan kepincangan dalam penyampaian maklumat dan kefahaman antara masyarakat umum dengan komuniti pekak,” ujarnya.

Tambahnya, warga pekak sering berdepan kesulitan ekstrem apabila berurusan di premis dan fasiliti awam kritikal seperti hospital, balai polis, mahkamah serta institusi perbankan akibat ketidakadaan medium komunikasi yang memadai.

“Bagi mengatasi isu kekurangan jurubahasa fizikal di lokasi, MFD mendesak perlunya pelaksanaan sistem perkhidmatan Video Relay Service (VRS) secara dalam talian bagi membolehkan interaksi berlaku secara maya dan masa nyata (real-time).

“Pada masa sama, isu kebajikan jurubahasa isyarat profesional di negara ini turut berada pada tahap membimbangkan. Kadar elaun dan gaji bagi jurubahasa isyarat ketika ini masih amat rendah,” katanya.

Situasi itu menyebabkan kita sukar untuk menarik serta mengekalkan perkhidmatan jurubahasa profesional bagi membantu komuniti pekak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here