KUALA LUMPUR – Seramai 112 warga asing terdiri daripada warganegara Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Belantik, Sik, atas pelbagai kesalahan imigresen.
Kesemua Orang Kena Tuduh (OKT) itu membabitkan 112 kes di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, hasil Ops Sapu di daerah Kulim yang dijalankan Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah.
Prosiding di hadapan Mazdi Abdul Hamid, manakala pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Farahafida Zakaria dan Siti Khuzaimah Md Illias.

Daripada jumlah itu, 37 OKT didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga enam bulan terhadap tujuh OKT, manakala 30 lagi didenda RM10,000 setiap seorang atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, kesemua 30 OKT terbabit gagal membayar denda tersebut.
Sementara itu, 20 OKT lagi didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dua kes ditangguhkan sehingga 23 September depan bagi tujuan semakan dokumen, manakala tiga lagi ditangguhkan pada tarikh sama bagi pengemukaan fakta dan hujahan hukum.
Sebanyak 15 OKT pula dijatuhi hukuman penjara lapan bulan setiap seorang, dengan 10 daripada mereka turut dikenakan satu sebatan.
Dalam pada itu, 55 OKT didakwa mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan melantik peguam bela.
Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 bagi setiap OKT dengan dua penjamin, masing-masing seorang majikan asal dan seorang warganegara Malaysia, selain syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah menegaskan tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan akan terus dilaksanakan secara berterusan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen negara. –Â MalaysiaGazette
















