KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur enam premis hiburan di sekitar Parlimen Kepong, Seputeh dan Bukit Bintang, dalam operasi khas pada malam Sabtu lepas.
Operasi tersebut menyasarkan premis yang dikendalikan oleh warga asing, peniaga yang gagal mematuhi syarat lesen petempatan makanan, serta beroperasi tanpa lesen sah untuk mengadakan hiburan.
DBKL dalam kenyataan berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak lapan notis tawaran kompaun dikeluarkan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 serta UUK Iklan (WP) 1982.

Manakala tiga Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan turut dikeluarkan terhadap premis yang didapati mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen.
DBKL turut melaksanakan tiga sitaan barangan berkaitan hiburan, selain satu premis dikenakan tindakan penutupan serta-merta.
Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan itu akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan semua premis perniagaan dan hiburan di ibu negara mematuhi undang-undang serta syarat lesen yang ditetapkan.
Langkah berkenaan juga bagi memastikan kesejahteraan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, khususnya di kawasan yang mempunyai aktiviti perniagaan dan hiburan. – MalaysiaGazette
















