Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris berkenan menyampaikan Anugerah Juara Keseluruhan kepada Kontinjen Selangor pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sambil ditemani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika di Aneka Walk Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 OGOS 2026.

SHAH ALAM – Selangor dinobat juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 apabila meraih 245 pingat menerusi 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa pada majlis penutupnya di sini malam ini.

Kejayaan tersebut dianggap bersejarah apabila kontinjen tuan rumah dengan kekuatan seramai 850 atlet berjaya mengungguli pingat emas melepasi sasaran 80 pingat.

Naib juara diikuti Wilayah Persekutuan yang merangkul 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa sementara Terengganu menduduki tempat ketiga dengan memperoleh 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa.

Sementara itu, gelaran Atlet Wanita Terbaik menjadi milik perenang Selangor, Eliza Tan Ai Shen yang memecah rekod kebangsaan bagi acara 100 meter gaya bebas sebanyak dua kali dengan rekod baharu 56.78 saat.

Atlet berusia 19 tahun itu turut mencipta sensasi muncul perenang wanita pertama negara yang memegang catatan masa bawah 57 saat bagi acara itu selain meraih pingat emas dalam acara 200 meter gaya bebas wanita dengan catatan masa dua minit 5.26 saat.

Eliza turut memperbaharui rekod kejohanan 50 meter (m) individu, 4x100m gaya bebas berganti-ganti, 4x200m gaya bebas berganti-ganti dan 4x100m rampaian berganti-ganti, ketiga-tiganya dengan rekod baru kejohanan.

Penembak dari kontinjen Pahang, Cheah Zen Hong pula dinobat sebagai Atlet Lelaki Terbaik apabila berjaya merangkul sembilan emas dan satu perak dalam dalam acara 10m dan 25m Sport Pistol.

Dia menutup tirai penampilannya dalam SUKMA dengan mempamerkan prestasi luar biasa apabila berjaya memecah dua rekod kejohanan tersebut untuk membawa pulang wang tunai RM5,000 bersama piala pusingan dan iringan.

Hadiah kepada juara keseluruhan kontinjen Selangor, atlet lelaki terbaik dan atlet wanita terbaik SUKMA XXII Selangor disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penyampaian hadiah dalam acara yang diadakan di Aneka Walk itu turut disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here