Kredit Foto: World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA)

KUALA LUMPUR – Masjid Sri Sendayan di Negeri Sembilan dinobatkan sebagai “Global Outstanding Mosque of the Year” 2026 pada majlis World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini malam ini.

WITA dalam kenyataan memaklumkan anugerah berprestij anjuran Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) bersama dengan Jawatankuasa Penganjur WITA itu disampaikan kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid Sri Sendayan Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Pengiktirafan di peringkat antarabangsa itu diberikan atas kecemerlangan masjid berkapasiti 5,000 jemaah berkenaan dalam seni bina Islam, pembangunan komuniti, pendidikan agama, penglibatan pengunjung dan sumbangannya terhadap pelancongan mesra Muslim.

Abdul Rashid berkata sejak awal pembinaan, pihak pengurusan komited memastikan masjid itu berfungsi untuk ibadah dan memperkasakan masyarakat sekitar.

“Hari ini, kira-kira 50 peratus aktiviti kami berteraskan keagamaan dan 50 peratus lagi memberi tumpuan kepada komuniti, menggabungkan ibadah dan pembelajaran agama dengan program-program yang membina ilmu, kemahiran serta hubungan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata institusi masjid perlu berkembang seiring dengan perubahan zaman demi mempersiap masyarakat mendepani cabaran masa hadapan.

“Pembelajaran perlu berkembang seiring dengan perubahan dunia di sekeliling kita… atas sebab itu, kami turut memperkenal kemahiran dan pengetahuan kontemporari termasuk pemahaman mengenai kecerdasan buatan.

“Masjid seharusnya menjadi tempat di mana iman diperkukuh, ilmu berkembang dan masyarakat bergerak maju bersama-sama,” katanya.

Masjid itu, yang dibina melalui prinsip wakaf oleh Abdul Rashid dan siap pada 2019, mengambil inspirasi seni bina era Abbasiyah dan Mamluk.

Pembinaannya menghimpunkan kepakaran pertukangan dan bahan berkualiti tinggi dari Itali, Dubai, Portugal, Mesir serta India. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here