SHAH ALAM – Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) buat julung kalinya akan menganjurkan Festival Sastera Kanak-Kanak Selangor 2026, yang membuka ruang baharu kepada kanak-kanak untuk mendekati sastera, cerita, kreativiti dan imaginasi.

Festival selama empat hari itu akan berlangsung dari 28 hingga 31 Ogos 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan Aneka Walk, SA Central, Shah Alam dengan tema “Meraikan Setiap Cerita Kanak-Kanak”.

PPAS berkata, festival berkenaan bukan sekadar pesta buku, sebaliknya menawarkan pengalaman lebih luas dengan memberi peluang kepada kanak-kanak membaca, bermain, bergerak, berimaginasi dan berkarya, selain meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad berkata, kanak-kanak hari ini memerlukan lebih banyak ruang untuk belajar dan berkembang secara seimbang, manakala ibu bapa pula memerlukan sokongan serta panduan dalam menghadapi cabaran membesarkan anak.

Kanak-kanak teruja mengikuti sesi bercerita semasa Pesta Buku Negeri Selangor 2025.

“Setiap anak berhak mendapat kasih sayang tanpa syarat, perhatian dan peluang untuk mengenali dunia mereka sendiri.

“Kita perlu menyediakan ruang di mana anak-anak boleh membaca, bermain, berimaginasi dan meluangkan masa bermakna bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Festival itu memberi tumpuan kepada aspek penting dalam proses perkembangan kanak-kanak termasuk pendidikan awal, kemahiran motor kasar dan motor halus serta perkembangan sosial dan emosi.

Selain kanak-kanak, festival berkenaan turut menyediakan ilmu, panduan dan sokongan kepada ibu bapa, khususnya golongan muda yang sedang melalui fasa membesarkan anak dan mahu memahami perkembangan serta keperluan mereka dengan lebih baik.

Ia termasuk usaha mengurangkan kebergantungan kanak-kanak terhadap gajet dan skrin.

Antara keistimewaan festival itu ialah pendekatan inklusif yang memastikan kanak-kanak berkeperluan khas turut menjadi sebahagian daripada pengalaman festival, bukan sekadar penonton.

Melalui program Inclusive Literature Forum dan Hands-On Sensory Play, kanak-kanak dengan keperluan serta kebolehan berbeza diberikan ruang untuk meneroka, bermain dan berinteraksi dalam suasana yang lebih inklusif.

Menurut PPAS, keterangkuman bukan sekadar menyediakan aktiviti khusus, sebaliknya memastikan setiap kanak-kanak berpeluang berada dalam ruang sama, mencuba perkara baharu dan diraikan berdasarkan keunikan masing-masing.

Festival yang menggabungkan sastera, seni, kreativiti, pendidikan, pergerakan dan pengalaman keluarga, dengan pendekatan yang mendapat inspirasi daripada Jaipur Literature Festival (JLF) di India.

Selain itu, tema batik turut diketengahkan bagi memperkenalkan warisan tempatan kepada generasi muda menerusi seni dan kreativiti.

Antara pengisian utama ialah Pameran Cerita Rakyat dan Legenda Melayu yang menampilkan kisah Bawang Putih dan Bawang Merah, Si Tanggang Derhaka, Naga Tasik Chini serta Sang Kancil dan Buaya.

Festival turut menampilkan Pameran Buku Nostalgia yang membawa kembali bahan bacaan dan ilustrasi generasi terdahulu, sekali gus memberi peluang kepada ibu bapa mengimbau pengalaman membaca dan berkongsi kenangan bersama anak-anak.

Seorang kanak-kanak tekun membaca buku semasa Pesta Buku Negeri Selangor 2025.

Lebih 100 pempamer daripada pelbagai latar turut mengambil bahagian, termasuk penerbit, penjual buku, penggiat industri kreatif, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Antara yang terlibat ialah Kementerian Pendidikan Malaysia, Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS), Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Pengunjung juga berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan Sasterawan Negara, penulis, ilustrator dan personaliti yang dekat dengan dunia kanak-kanak serta remaja, termasuk Ustaz Adnin, Sumie Azil, Osman Deen dan Uncle NAI.

Lebih 185 program akan diadakan sepanjang empat hari festival merangkumi seni, kreativiti, sastera, pendidikan dan aktiviti interaktif.

Dalam pada itu, pengunjung berpeluang memenangi wang tunai keseluruhan RM40,000 sepanjang empat hari festival dengan 20 pemenang setiap hari menerima RM500 seorang.

Pengunjung hanya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM30 serta mengisi nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon tanpa sebarang slogan atau syarat tambahan.

Festival itu boleh dikunjungi menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam, dengan Stesen LRT3 Dato’ Menteri terletak berhampiran Aneka Walk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here