SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Ketua Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari untuk membincangkan rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Jelasnya, langkah itu bagi memulakan rundingan kedua-dua gabungan itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Kita sudah bagi amanah kepada Ketua Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Amirudin Shari untuk bincang (rundingan kerjasama PRN Melaka),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuannya dengan Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor pada Isnin.
Semalam, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengesahkan kedua-dua mereka sudah mengadakan pertemuan berhubung rundingan bersama BN.
Namun, Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau tidak dimaklumkan perkara yang dibincangkan.
Khamis lalu, Anwar memberitahu, jawatan kuasa pilihan raya gabungan itu akan membincangkan potensi kerjasama dengan BN bagi PRN Melaka.
Beliau memaklumkan jawatan kuasa berkenaan diketuai oleh Amirudin serta Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum ini, Saifuddin tidak menolak kemungkinan bertemu dengan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi membincangkan kerjasama menjelang PRN.
Saifuddin dilaporkan berkata pertemuan itu boleh berlaku selepas Ketua Menteri Melaka itu pulang daripada lawatan kerja ke New Zealand. – MalaysiaGazette
















