MELAKA – Maahad Tahfiz di bawah program Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) Pulau Besar akan dibangunkan semula dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan dana TVET Negeri Melaka.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, peruntukan itu masing-masing membabitkan RM1 juta daripada MAIWP dan RM700,000 menerusi dana TVET Negeri Melaka.
Menurutnya, peruntukan itu akan digunakan menaik taraf bangunan serta kemudahan di pusat tahfiz berkenaan yang menempatkan 30 pelajar membabitkan penggantian struktur bangunan kayu kepada binaan batu, selain pendawaian elektrik lama serta kemudahan lain.
“Bangunan yang kayu itu kita jadikan batu, termasuk juga pendawaian elektrik yang sudah lama kita tukar baharu dan lain-lain fasiliti.
“Selepas kebenaran merancang ini selesai, kita akan buka tender dan terus melaksanakan kerja dalam tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka Tahun 1448H/2026M di perkarangan Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, di sini hari ini.
Majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata demikian ketika diminta mengulas bantuan yang akan diberikan dalam kejadian kebakaran di pusat tahfiz berusia 30 tahun itu kira-kira jam 10 malam Ahad lalu.
Menurutnya, kebakaran bagaimanapun hanya melibatkan stor serta kelas yang tidak lagi digunakan memusnahkan 80 peratus struktur bangunan namun tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa.
“Anggaran kerugian pula adalah sekitar kira-kira RM100,000 dan operasi pusat tahfiz setakat ini masih berjalan seperti biasa dengan kira-kira 30 pelajar ketika ini.
“Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), MAIM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah menjalankan siasatan di lokasi, namun punca kebakaran masih belum dikenal pasti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, langkah keselamatan tambahan turut akan diperkenalkan termasuk mewujudkan sukarelawan bomba dalam kalangan pelajar bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran.
Katanya, langkah itu penting mengambil kira kedudukan Maahad Tahfiz TVET Pulau Besar yang jauh dari tanah besar. – MalaysiaGazette
















