Seorang lelaki yang sedang asyik diurut seorang tukang urut wanita asing dicekup dalam operasi di sebuah rumah urut di Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki yang hanya memakai seluar dalam dan sedang asyik diurut seorang tukang urut wanita asing terkejut apabila dicekup dalam operasi di sebuah rumah urut di Bandar Penawar, di sini semalam.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua mereka ditahan sepasukan anggota penguat kuasa pada pukul 10.45 malam dalam operasi cegah maksiat di salah sebuah bilik rumah urut berkenaan.

Semasa pemeriksaan oleh penguat kuasa JAINJ mendapati lelaki tempatan berusia 30-an itu ditemui sedang berbaring manakala seorang wanita berusia 30-an yang juga warga Indonesia duduk di sebelahnya.

“Dalam bilik itu turut ditemui katil bujang bersama-sama tilam dan cadar, pakaian lelaki berkenaan serta beberapa botol kecil berisi minyak urut.

“Siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan berstatus suami orang dan bekerja di daerah ini, manakala wanita terbabit bekerja sebagai tukang urut di premis berkenaan kira-kira empat bulan lalu,” menurut kenyataan tersebut.

JAINJ memberitahu, lelaki terbabit memaklumkan dia tinggal bersendirian di daerah ini dengan menyewa sebuah bilik, sementara isteri dan anaknya berada di negeri lain yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan.

Jelas jabatan itu lagi, lelaki berkenaan juga mendakwa kebiasaannya pulang ke kampung seminggu sekali atau dua minggu sekali.

Sementara wanita terbabit pula mengaku bekerja sebagai tukang urut secara komisen.

JAINJ menjelaskan, premis berkenaan dipercayai menerima pelanggan melalui promosi di beberapa aplikasi Internet, selain pelanggan tetap yang datang secara terus.

Bayaran urutan biasa dikenakan RM80 bagi tempoh sejam, manakala terdapat bayaran tambahan bagi perkhidmatan lain.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan mendakwa hanya mendapatkan urutan biasa bagi melegakan lenguh badan selepas bekerja, selain menafikan menerima sebarang perkhidmatan lain,” katanya.

Pasangan terbabit kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here