Alzafny Ahmad. foto Bernama

SEREMBAN – Polis menahan seorang lelaki di sebuah hotel di Chow Kit, Kuala Lumpur semalam bagi membantu siasatan berhubung kes pembakaran serta kecurian naskhah al-Quran di sekitar daerah ini dan di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, penahanan lelaki berusia 25 tahun itu susulan aduan orang awam mengenai kebakaran di tepi padang di Senawang pada 22 Ogos lepas.

“Pemeriksaan mendapati kebakaran tersebut melibatkan beberapa naskah al-Quran dan polis turut menerima laporan berkaitan kecurian al-Quran di sebuah masjid di Forest Height, di sini kira-kira pukul 4.45 petang pada hari yang sama.

“Susulan itu, lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 9.30 malam semalam dalam satu serbuan di sebuah hotel di Chow Kit, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam bilik hotel itu menjumpai dua beg mengandungi 16 naskah al-Quran serta merampas tiga telefon bimbit dan barangan peribadi yang dipercayai milik suspek.

Alzafny berkata,  kesemua naskhah al-Quran yang ditemukan di dalam beg milik suspek dipercayai dibawa keluar tanpa izin daripada masjid dan surau di sekitar kawasan Chow Kit.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa naskhah tersebut diambil daripada sebuah universiti di utara berdasarkan penemuan cop hak milik universiti berkenaan.

“Pada hari yang sama, pemeriksaan turut dilakukan di rumah milik keluarga suspek di Senawang dan merampas 36 kulit al-Quran di dalam bilik suspek,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati penemuan tersebut mempunyai kaitan dengan kes pembakaran al-Quran di tepi padang tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 295 kanun yang sama.

Alzafny berkata, suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau dan baru dua bulan tamat menjalani perintah pengawasan polis. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here